Jumaat, 8 November 2019 | 11:00am
Haziq tetap mahu meneruskan niat merakamkan lagu bersama isteri tersayang. - NSTP/Salhani Ibrahim

Haziq mahu teruskan 'projek terbengkalai'

KUALA LUMPUR: Ibarat ‘projek terbengkalai’, penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni masih menyimpan hasrat merakamkan lagu duet bersama isteri tersayang, suatu hari nanti.

Pernah bercadang menghasilkan single duet kira-kira dua tahun lalu, niat pasangan itu bagaimanapun terbantut apabila isterinya, Ayunda Putri Mekar Sari Yushi, hamil.

“Saya banyak menghasilkan rakaman video menyanyi dengan isteri di Instagram dam YouTube. Semuanya mendapat maklum balas positif pengikut.

“Dua tahun lalu, lagu duet saya dan isteri siap dicipta. Namun, lagu balada itu tak sempat dirakamkan kerana isteri hamil.

“Sebagai ganti, saya hasilkan single solo. Niat untuk merakamkan single seterusnya tidak direalisasikan kerana ketika itu, banyak pula lagu duet dipasarkan,” katanya kepada BH Online.

Haziq yang mencuba nasib dengan single sulung berjudul Demi Cinta Kita memberitahu, isteri bagaimanapun belum bersedia merakamkan vokal sekarang.

“Iyalah, isteri bukan orang seni tetapi dia boleh menyanyi dan bermain alat muzik.

“Saya tak boleh paksa isteri... Kalau hendak buat, biarlah dia rela,” katanya yang masih menunggu peluang berduet dengan insan tersayang itu.

Haziq atau nama penuhnya, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni mengaku single Demi Cinta Kita kurang dipromosikan.

“Biarpun lagu itu dimainkan di beberapa stesen radio termasuk Hot FM, impaknya kurang akibat tidak dipromosikan dengan baik.

“Namun, saya bersyukur kerana impian merakamkan lagu menjadi nyata sama seperti niat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan,” katanya.

Ditemui pada sidang media Lazada 11.11 Supershow! di ibu negara, baru-baru ini, Haziq yang meraih trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, teruja mengemudi acara membabitkan hampir 20 artis itu.

Lazada 11.11 Super Show! akan diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini mulai jam 9 malam.

Antara artis yang akan mengambil bahagian adalah Man Bai, kumpulan Hujan, Ayda Jebat, Shuk HOT FM, Hael Husaini, Siti Nordiana, Naim Daniel, K Clique, Ebby Yus, Shiha ZIkir, Elly Mazlein dan Fazura.

Tidak ketinggalan, Eyka Farhana, Zizi Kirana dan Sofea Liyana (DEFAM). Kumpulan KPOP, Apink dan penyanyi dari Indonesia, Cinta Laura turut serta.

Berita Harian X