Selasa, 5 November 2019 | 1:00pm
Rosnan berharap anak muda mahu mewarisi seni Makyung yang lebih dua dekad diperjuangkannya. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Pakyung Rosnan mahu bersara?

KUALA LUMPUR: Selepas 22 tahun memperjuangkan Makyung, Rosnan Rahman mula terfikir masanya sudah tiba untuk dia meninggalkan pentas seni itu.

Ini kerana Rosnan mahu memberi tumpuan kepada kerja belakang tabir termasuk tugas hakiki sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Produksi di Istana Budaya (IB).

Sehubungan itu, Rosnan, 47, berharap anak muda yang kaya idea dan bertenaga, boleh menyambung tugasnya itu.

“Akhir-akhir ini, terdetik dalam hati, cukuplah sudah saya memperjuangkan Makyung.

“Cuma perasaan itu bercampur baur. Apakah saya perlu berhenti seketika atau selama-lamanya. Namun, bukanlah tahun ini, mungkin akhir tahun hadapan atau paling lama, lagi tiga tahun.

“Ketika itu, saya sudah berusia 50 tahun. Biarlah masa menentukan segala-galanya,” katanya kepada BH Online.

Aktivis teater dan pelakon ini melunaskan tanggungjawab sebagai pengarah teater Makyung Raja Besar Maha Gading di Panggung Sari, Istana Budaya, selama tiga hari pada 11 Oktober lalu.

Rosnan menambah, tugas hakiki sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Produksi di IB perlu diutamakan.

“Saya sudah lama bekerja di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Aktiviti Makyung lebih kepada minat. Selepas ini, saya tak perlu tertekan mengarah dan berlakon pada masa sama.

“Seperkara lagi, saya tak perlu berhias dan bersolek lagi. Cukuplah selepas ini duduk di belakang pentas dan menjaga apa yang perlu dipantau,” katanya.

Namun, Rosnan berharap, ketika dia nekad meninggalkan pentas Makyung, sudah ada pengganti yang akan mengambil tempatnya sebagai Pakyung dan mewarisi seni Makyung.

“Biarlah saat saya menoktahkan perjuangan ini kelak, khazanah seni seperti Makyung ini akan terus terpelihara,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan mengetengahkan pelakon terkenal seperti Nad Zainal, Izzue Islam dan Issey Fazlisham melalui pementasan Makyung Raja Besar Maha Gading, baru-baru ini, Rosnan akur dirinya sahaja tidak mampu menarik perhatian peminat.

“Saya sedar diri ini belum cukup terkenal atau ada peminat yang ramai untuk menarik penonton.

“Untuk ‘menjual’ pementasan seperti ini, kena ada strategi tertentu. Ini termasuklah menawarkan watak kepada pelakon terkenal untuk menarik perhatian.

“Saya harap minat anak muda bercambah untuk mendekati seni warisan Makyung melalui strategi ini,” katanya.

Tambah Rosnan, melalui pembabitan bintang popular, dirinya turut mendapat tempias apabila diundang dalam program seperti Melodi terbitan TV3 untuk mempromosikan pementasan bersama.

Berita Harian X