Sabtu, 2 November 2019 | 11:27am
PELAKON, Amyra Rosli, ketika menghadiri majlis pelancaran produk terbaru Ambi Pur di Subang Jaya. -NSTP/Aziah Azmee

Amyra perjelas tindakan kongsi gambar tanpa tudung

SUBANG JAYA: Pelakon, Amyra Rosli, 28, menegaskan enggan mempedulikan komen warganet mengenai gambarnya tanpa tudung yang dikongsi di laman sosial bagi mempromosikan produk.

Jelasnya, gambar berkenaan di muat baik berikutan dirinya terikat dengan komitmen yang sudah dipersetujui, sebelum ini.

Katanya, sesetengah warganet tidak memahami kontrak membabitkan duta atau wajah sesuatu barangan dan perkhidmatan, sekali gus membuatkannya lebih selesa membiarkan sahaja tanggapan negatif pihak terbabit.

“Saya tak mahu menguar-uarkan penampilan baharu ini atau secara rasmi mengumumkan sudah berhijab kerana daripada Instagram sendiri, pengikut saya boleh membuat penilaian. Cuma, saya masih mempunyai komitmen bersama sesetengah produk di laman sosial.

“Saya memang berkongsi beberapa entri tanpa tudung. Ia sebenarnya gambar lama untuk promosi barangan yang sudah dipilih pemilik produk, sebelum ini. Selain barangan, banyak juga gambar saya tanpa hijab digunakan dalam ‘teaser’ drama.

“Saya tahu, ada yang keliru dan tertanya-tanya apabila melihat perkongsian terbabit. Di luar, saya selesa begini (bertudung). Saya tahu, perkara (perubahan) sebegini mengambil masa, tetapi kalau orang masih mahu mengata, tak mengapa asalkan suami dan keluarga tahu niat saya,” katanya.

Cuma kata Amyra, dia berharap tiada pihak yang memaksa dirinya untuk menyatakan sama ada sudah nekad bertudung atau sebaliknya.

“Saya tahu apa yang saya buat. Apa yang anda lihat, inilah saya. Doakan yang baik-baik,” katanya yang mula mengenakan hijab sejak pulang menunaikan umrah, baru-baru ini.

Katanya, dia tidak menghiraukan kata-kata negatif netizen sejak mula-mula menjejakkan kaki di arena seni lagi kerana mempunyai kumpulan sokongan yang kuat, terutama ibu bapa.


AMYRA akui selesa dengan penampilannya ketika ini. -NSTP/Aziah Azmee

Kini, dia juga mendapat sokongan suami yang juga pelakon, Amar Baharin.

“Amar suka saya berhijab. Tetapi sebenarnya, kalau saya tidak mengenakan tudung pun, saya bukan jenis yang suka berpakaian seksi, pergi kelab atau melepak. Kehidupan saya lebih banyak di rumah bersama keluarga. Ammar sendiri akan tegur kalau pemakaian saya dilihat tidak kena.

“Lagipun, saya banyak melakonkan watak wanita bertudung. Menerusi drama bersiri terbaru, umpamanya, saya memakai hijab selama dua bulan dan diteruskan pula dengan ibadat umrah. Apabila pulang, secara automatik saya mencari penutup kepala ketika ada tetamu datang melawat.

“Semua ini adalah jalan ke arah sesuatu yang lebih baik. Orang pun suka tengok saya berhijab. Jadi ia juga memberikan semangat untuk saya,” katanya yang baru menyempurnakan penggambaran drama bersiri berjudul Cemburu Seorang Perempuan.

Berita Harian X