Rabu, 30 Oktober 2019 | 2:59pm
HAFIZ dan Adira kembali berpadu suara menerusi lagu Takdir Tercipta. - Foto ihsan Nova Music

Takdir Tercipta imbas kisah cinta lama?

KUALA LUMPUR: Video muzik lagu duet terbaru Hafiz Suip dan Adira Suhaimi, Takdir Tercipta, dikatakan seperti mengimbas kembali kisah cinta dua penyanyi berkenaan, suatu masa dahulu.

Kedua-dua penyanyi berkenaan pernah menarik perhatian peminat bukan sahaja menerusi lagu paduan suara, malah kisah peribadi mereka juga mencuri tumpuan ramai.

Bagaimanapun Hafiz berkata, cerita dipaparkan dalam klip terbabit adalah kisah yang melengkapkan lagi lirik lagu hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali itu.

“Kalau kita amati video muzik lagu ini, ia tidak ubah seperti sebuah drama. Ia mempunyai jalan ceritanya tersendiri.

“Terpulang kepada masing-masing untuk menterjemahkan kisah dipaparkan di dalamnya. Saya dan Adira menunaikan tanggungjawab yang diletakkan ke bahu kami dengan cukup profesional. Saya percaya, kisah yang ditonjolkan berkaitan dengan lagu dan liriknya.

“Secara peribadi pula, saya menganggap video muzik ini sebagai hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya kami, sejak dahulu hingga kini,” kata Hafiz kepada BH Online.

HAFIZ dan Adira berharap peminat menyukai video muzik lagu duet mereka, Takdir Tercipta, yang dikongsi menerusi YouTube mulai hari ini.

Adira pula berharap video muzik terbabit, yang dikongsi menerusi YouTube mulai 3 petang ini, dapat diterima baik oleh peminat, sekali gus mengubat kerinduan mereka terhadap gandingan dirinya dan Hafiz.

“Apabila lagu ini dilancarkan pada 9 September lalu, ramai yang bertanya, bila pula video muziknya akan dikeluarkan? Jadi, kini video muzik lagu itu sudah dikongsi dan diharap peminat akan menyukainya.

“Bagi saya, video ini mempunyai keistimewaan tersendiri, menerusi jalan cerita yang dipaparkan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Video muzik Takdir Tercipta yang diilhamkan sepenuhnya oleh Hafiz, yang juga bapa kepada seorang anak lelaki, mendapat sentuhan pengarah, Bobong Latif.

Ia adalah kerjasama pertama dua artis berbakat berkenaan, selepas empat tahun tidak berbuat demikian.

Berita Harian X