Khamis, 24 Oktober 2019 | 11:01am
REPVBLIK tidak terkesan dengan isu lagu Andaikan yang dikatakan lagu ciplak. - NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA.

Andaikan bukan lagu ciplak - Repvblik

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Indonesia, Repvblik mengakui, tidak terkesan dengan kontroversi lagu terbaru mereka, Andaikan yang dikatakan memplagiat lagu I Knew I Loved You nyanyian Savage Garden.

Vokalisnya, Ruri berkata, isu itu tercetus susulan salah faham berkaitan pemilihan model bagi menjayakan video muzik lagu itu hingga membuatkan penyanyi transgender, Lucinta Luna terasa hati.

“Sebelum ini, kami pernah membuat pencarian model wanita untuk video muzik Andaikan dan pihak yang menguruskannya mencadangkan nama Lucinta.

“Kami bagaimanapun, menolak cadangan itu secara baik kerana mahukan model wanita tulen. Saya tidak pasti, adakah ia punca yang menyebabkan Lucinta sengaja menimbulkan isu itu. Namun, yang pasti, Andaikan bukan lagu ciplak,” tegasnya.

Ruri dan barisan anggota Repvblik lain iaitu Hexa, Lavy, Ei, Tyar dan Randy ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Repvblik and Friends Tour 2019, baru-baru ini.

Tambah Ruri, dia juga menafikan isu itu sengaja ditimbulkan sebagai gimik bagi meraih perhatian ramai untuk menaikkan populariti lagu itu.

Ruri juga menjelaskan, ia kali pertama Repvblik memberikan penjelasan kerana bukan cara mereka mencari kontroversi, melainkan isu itu benar-benar serius.

“Kami sudah biasa berdepan pelbagai isu daripada pihak yang cuba menjatuhkan Repvblik. Cara terbaik untuk selesaikan masalah itu adalah berdiam diri, tanpa perlu memberi penjelasan.

“Kebetulan apabila ada yang bertanya, jadi kami jawab. Bagi kami, jika terus memberikan penjelasan, isu itu tidak akan berakhir,” katanya.

Terdahulu, ketika Repvblik memuatnaik hantaran mempromosikan Andaikan di Instagram, Lucinta meninggalkan komen mendakwa, kumpulan itu memplagiat lagu Savage Garden.

Dalam komen sama, Lucinta turut menyelar Repvblik supaya mempunyai identiti sendiri dan bukan meniru karya mana-mana pihak. Repvblik, bagaimanapun mengambil pendekatan tidak membalas komen dan enggan mengulas isu yang dibangkitkan.

Sementara itu, Konsert Repvblik and Friends 2019 bakal berlangsung di tiga lokasi iaitu KL Live, Life Center pada 18 Disember ini, disusuli Persada, Johor Bahru (20 Disember) dan Sabah (22 Disember).

Konsert anjuran A Loud Nation itu turut membariskan penyanyi Indonesia, Andmesh, selain kumpulan tempatan, Floor 88.

Berita Harian X