Ahad, 20 Oktober 2019 | 1:00pm
UNGKU Ismail terlepas peluang beraksi dalam video muzik Erra Fazira kerana percanggahan jadual kerja. NSTP/Aziah Azmee

Siapa cakap saya tarik diri? - Ungku Ismail

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah tarik diri atau menganggap nama ditolak apabila tidak dapat menjayakan video muzik lagu terbaru Erra Fazira, Menangkah Cinta.

“Sebaliknya, ketiadaan saya disebabkan jadual kerja yang bercanggah,” demikian jelas pelakon, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz berhubung ketiadaannya dalam video muzik itu.

Pelakon yang popular menerusi drama Teman lelaki Upahan itu berkata, biarpun sudah memberikan kata persetujuan lebih awal, dia menganggap bukan rezekinya untuk bekerjasama dengan Erra.

“Pada awalnya, pengurusan Erra memberikan dua tarikh untuk penggambaran iaitu pada Rabu dan Sabtu. Memandangkan saya terikat dengan komitmen lain pada Rabu, saya minta penggambaran ditunda ke Sabtu.

“Tetapi, mereka tidak dapat tunaikan dan menjelaskan, penggambaran hanya dapat dibuat pada Rabu. Jadi, saya terpaksa lepaskan tawaran itu.

“Hairan juga, siapa pula yang cakap saya tarik diri? Kalau jadual penggambaran boleh diubah seperti yang saya pinta, pasti saya sedia memberikan kerjasama,” katanya.

Kata Ungku Ismail lagi, dia hanya menyedari tempatnya diganti dengan penyanyi, Shahir selepas menyaksikan video muzik itu dimuat naik di laman YouTube.

“Bila lihat Shahir berlakon, saya anggap ia bukan rezeki. Saya masih mahu bekerjasama dengan Erra. Sebelum ini, kami pernah berlakon bersama dan saya anggap dia sebagai pelakon sejati.

“Saya kagum melihat dia masih mampu bertahan dan pencapaiannya itu membuatkan saya ingin menjadi sepertinya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2019, baru-baru ini.

Terdahulu, pada majlis pelancaran single ciptaan Hafiz Hamidun itu, Erra memaklumkan, selain Ungku Ismail, dia dan pengurusannya membariskan beberapa nama, termasuk Zul Ariffin, Remy Ishak serta Datuk Awie untuk membintangi video muzik itu.

Namun, hanya Shahir dan Ungku Ismail yang menyatakan persetujuan, sebelum rezeki berpihak kepada bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan itu.

Berita Harian X