Jumaat, 18 Oktober 2019 | 12:05pm
Haqiem kesal lagu Tergantung Sepi diciplak tetapi sudah memaafkan pihak terbabit. Pada ABPBH 32, Haqiem memenangi dua trofi iaitu Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Saya maafkan, jangan buat lagi'

KUALA LUMPUR: ‘Kalau mahu berkarya, buatlah dengan jujur... Meniru tak bagus’.

Itu reaksi Haqiem Rusli apabila ditanya mengenai dakwaan single Pergi Saja dendangan kumpulan dari seberang, Symphony Band, diciplak daripada lagu ‘berhantunya’, Tergantung Sepi.

“Saya kecewa dengan cara mereka berkarya dengan meniru ‘sebiji-biji’ lagu asal. Biarpun lirik tidak sama, tapi saya lihat, ‘verse’ dan melodi, misalnya, ketara (mirip).

“Hendak berkarya, silakan. Namun, berkaryalah dengan jujur dan bermutu. Tiru-meniru ini tak bagus, biar ada keaslian,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini kecoh apabila lagu Pergi Saja dendangan Symphony Band didakwa mirip dengan lagu Tergantung Sepi ciptaan Ibnu dan Ghuffran.

Bagaimanapun, Haqiem yang memenangi trofi Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) 32 itu sudah memaafkan keterlanjuran band terbabit.

“Saya maafkan dengan harapan mereka akan belajar daripada isu itu. Barangkali, mereka fikir selepas sekian lama, lagu Tergantung Sepi sudah dilupakan.

“Hakikatnya, lagu itulah yang memperkenalkan saya di pentas seni dan memberi impak,” katanya.

Tambah Haqiem, salah seorang anggota band terbabit sudah memohon maaf kepadanya.

“Saya okay sahaja. Cuma jangan ulangi lagi perkara itu... Ia tak sihat,” katanya.

Berita Harian X