Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:00am
Kingston mengaku Malaysia sentiasa dekat dalam hati. Penyanyi Beautiful Girls itu akan mengadakan konsert di ibu negara, malam esok. Foto NSTP Mustaffa Kamal

'Hidup jangan mudah putus asa'

KUALA LUMPUR: Pernah bekerjasama dengan artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak hairanlah penyanyi Beautiful Girls, Sean Kingston mengaku Malaysia sentiasa dekat dalam hati.

Bakal mementaskan konsert Sean Kingston Malaysia Live Tour 2019 di Pusat Konvensyen Quill di Quill Mall di sini, esok, Kingston tidak lupa menitipkan pesanan buat peminat, setiap kali bertandang ke negara ini.

“Tidak sabar hendak membuat persembahan di sini kerana Malaysia sentiasa dekat dalam hati.

“Penerimaan peminat di sini terhadap single yang dihasilkan sangat memberangsangkan. Saya tidak sangka ada rezeki untuk terus bertapak dalam bidang nyanyian.

“Bagi saya, apa yang penting dalam hidup ini adalah mengejar impian, cita-cita dan usah putus asa.

“Biarpun perjalanan hidup ini tidak pernah mudah, kita perlu sentiasa positif meniti liku hidup,” katanya kepada BH Online.

Kingston yang ditemui pada sesi promosi konsert di sini, kelmarin, bakal menghangatkan pentas konsert dengan gandingan penyanyi tempatan seperti Alif, Sona One, DJ Pennie dan DJ Jvene.

Kingston berkata, Malaysia bukanlah negara asing untuk dirinya sejak lama dahulu.

“Saya pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa artis tempatan. Tidak kira latar belakang kita, setiap individu adalah cantik mengikut erti berbeza,” katanya.

Kingston pernah berduet dengan Kilafairy untuk single keempat berjudul Put The World In ciptaan DJ Aku Ash.

Kingston atau nama penuhnya, Kissan Paul Anderson, bekerjasama dengan Siti dalam single bahasa Inggeris berjudul Remember You yang dilancarkan pada 2012.

Selain lagu Beautiful Girls, Kingston popular dengan lagu Fire Burning, Eenie Meenie dan My Love.

Tiket konsert Sean Kingston Malaysia Live Tour 2019 boleh didapati pada harga serendah RM138 hingga RM1,688 dengan melayari laman web Ticket Charge.

Berita Harian X