Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:39pm
WAN Sharmila tekad melakukan perubahan sempena hari kelahirannya pada 12 Oktober lalu. Foto IG Wan Sharmila

'Doakan saya istiqamah'

KUALA LUMPUR: Menganjak usia 38 tahun pada 12 Oktober lalu, pelakon bertubuh kecil molek, Wan Sharmila membulatkan tekad melakukan perubahan dengan tampil bertudung.

Mengakui sudah lama memasang niat untuk melakukan perubahan itu, anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia enggan terburu-buru kerana bimbang tidak tetap pendirian.

“Sudah lama impian ini terpendam, malah ketika berlakon dalam beberapa drama, saya meminta diberikan karakter bertudung kerana selesa dengan penampilan itu.

“Saya juga banyak bertanya pendapat mengenai pemakaian tudung daripada kawan-kawan. Cuma, pada hari ulang tahun kelahiran, baru-baru ini, saya mendapat keberanian memuat naik beberapa gambar dengan penampilan terbaru untuk memaklumkan perubahan itu,” katanya.


WAN Sharmila berharap diberi kekuatan untuk terus istiqamah dalam melakukan perubahan. Foto IG Wan Sharmila

Memohon semua pihak supaya mendoakan dia terus istiqamah, Wan Sharmila berkata, dia mengambil masa beberapa hari sebelum memuat naik gambarnya berjihab.

“Ketika bercuti di Osaka, Jepun, baru-baru ini, saya sebenarnya teragak-agak untuk memuat naik gambar terbaru kerana bimbang niat saya disalah erti.

“Ada juga yang menganggap, saya bertudung kerana menjayakan drama baharu. Perasaan saya sebenarnya bercampur-baur, namun saya terharu apabila ramai memberikan maklum balas positif,” katanya.

Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu berkata, dia terharu menerima pelbagai mesej peribadi peminat yang mendoakan dirinya istiqamah melakukan perubahan dalam hidup.

Berita Harian X