Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:00am
BIARPUN sudah empat tahun bercinta, Syafiq dan Mimi belum mempunyai perancangan mendirikan rumah tangga. Foto Mahzir Mat Isa

'Boleh berlakon bersama, tapi bukan sebagai kekasih'

KUALA LUMPUR: Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Syafiq Kyle, enggan terburu-buru membuat perancangan mendirikan rumah tangga selagi belum menggapai cita-citanya.

Syafiq, 27, berkata, dia dan kekasihnya, Mimi Lana sepakat untuk terlebih dahulu memburu kejayaan dalam kerjaya sebagai pelakon, sebelum membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.

“Alhamdulillah, usaha keras selama ini berjaya meletakkan saya dalam senarai popular. Tetapi, itu belum memadai kerana saya juga meletakkan sasaran untuk meraih trofi terbaik.

“Mimi pula masih lagi baru bertapak, jadi saya berikan dia ruang untuk menggapai impian. Kalau boleh, biarlah masing-masing mencipta kejayaan yang lebih besar.

“Memang kami sudah empat tahun bercinta, tetapi saya dan Mimi cuba mendahulukan kerjaya kerana mahu memahat kukuh nama dalam bidang ini,” katanya.

Menyentuh kerjaya lakonan, Syafiq dan Mimi juga sepakat tidak akan berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama atau filem.

Pernah sekali digandingkan sebagai pasangan bercinta, mereka bagaimanapun, berharap diberikan watak berbeza yang menguji kemampuan.

“Dalam kerjaya, saya dan Mimi profesional. Kami tidak kisah digandingkan berdua, tetapi biarlah watak diberikan bukan sebagai pasangan kekasih.

“Kami tidak mahu peminat terlalu fokus dengan kisah peribadi. Cukup orang tahu kami sedang bercinta, selebihnya saya dan Mimi mahu mengasah lagi kemampuan kami,” katanya.

Terbaru, Syafiq dan Mimi muncul sebagai pasangan kembar dalam filem Pusaka yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 31 Oktober ini.

Filem karya Razaisyam Rashid itu turut menampilkan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud, Faizal Hussein dan Aleza Shadan, selain Hafidz Roshdi, Sweet Qismina serta Yuna Rahim.

Akui Syafiq, Pusaka menarik perhatiannya kerana ia bukan sekadar naskhah seram, sebaliknya turut mengetengahkan elemen misteri dan penyiasatan.

“Pusaka memberikan saya cabaran, terutama untuk menzahirkan ekspresi wajah. Ia agak berat, namun saya teruja kerana filem itu memberikan pengalaman baharu,” katanya.

Berita Harian X