Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:18pm
Keadaan Mamat yang mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak, dilaporkan stabil. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman.

'Papa okay, henti viralkan foto'

KUALA LUMPUR: Keluarga Mamat Khalid terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang berkongsi foto pengarah filem itu terbaring di hospital diiringi keterangan mengelirukan hingga tular.

Tindakan itu menyebabkan ramai peminat Mamat menyangka dirinya kritikal.

Anaknya, Nor Sara berkata, dakwaan palsu bersandarkan apa yang dilihat tanpa kesahihan boleh mengundang andaian negatif, sedangkan ayahnya hanya direhatkan doktor.

“Tengok gambar memang wajah dan tubuh ayah nampak bengkak. Tetapi itu berpunca daripada ‘water retention’ dan proses mengeluarkan air berlebihan dari badannya lancar.

“Tekanan darah dan buah pinggang papa okay... Ramai risau apabila gambar itu disebarkan di media sosial.

“Kami tiada niat berahsia. Ini kerana siapa yang tahu, tahulah. Lagi pun, papa yang meminta dihantar ke hospital selepas sesak nafas. Apatah lagi, sudah dua minggu dia mengadu tak sedap badan,” katanya kepada BH Online.

Nor Sara berkata, ayahnya diberi dos untuk tidur sepanjang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak.

“Ini penting supaya ayah boleh berehat. Tiada apa yang perlu dirisaukan, cuma akibat penyebaran gambar itu membuatkan situasi jadi tidak terkawal.

“Kami harap sesiapa saja hormatilah perasan pesakit dan keluarga. Saya cakap bukan sebab papa orang dikenali, ini demi pesakit lain juga kerana melawat orang sakit pun perlu ikut adab.

“Apatah lagi ambil gambar ‘curi-curi’ dan kemudian disebarkan tanpa usul periksa,” katanya.

Semalam, foto pengarah Hantu Kak Limah itu terbaring di katil hospital, tular hingga ada yang menyangka masalah jantung dihadapi membuatkan dirinya koma.

Berita Harian X