Isnin, 14 Oktober 2019 | 2:13pm
Kejayaan kakak sembilan tahun lalu mendorong Siti Nur Shazreen membuktikan kemampuan sehingga muncul juara Kemuncak Bintang Klasik 2019, malam tadi. Foto Eizairi Shamsudin

Siti Nur Shazreen ulangi kejayaan kakak

KUALA LUMPUR: Sembilan tahun lalu, kakak menang, kali ini, giliran adik pula.

Saat Siti Nur Shazreen Shaharum, 23, diumumkan juara Kemuncak Bintang Klasik 2019, ingatan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini melayang kepada kakak tersayang, Shaidatul Nadira yang pernah merangkul trofi Bintang Klasik 2010.

Menjadikan kakaknya idola, Siti Nur Shazreen yang mendendangkan lagu Hapuslah Air Matamu nyanyian asal Broery Marantika dan Balqis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi, dalam acara yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, malam tadi.

Gadis dari Melaka yang mencuba nasib di dalam pertandingan nyanyian anjuran Radio Klasik RTM buat kali ketiga itu mengetepikan tujuh finalis lain.

Akui Siti Nur Shazreen, kemenangan kakak menyuntik semangat untuk mengulangi sejarah sama, dan lebih penting, membanggakan ayah dan ibu sebagai penyokong tegar.

“Saya mula didedahkan dengan pertandingan nyanyian pada usia empat tahun. Sejak kecil, ibu dan ayah menggalakkan kami menimba pengalaman dan membina keyakinan melalui pertandingan.

“Selepas kakak menang Bintang Klasik 2010, saya melihatnya sebagai idola. Sejak itu, saya tanam impian membawa pulang trofi juara biarpun pernah beberapa kali kecundang,” katanya yang turut meraih trofi Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii diiringi Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Noryahati Awang dan Pengarah Berita Ehwal Semasa, Che Rohana Che Omar.

Naib juara pula disandang pencabar terdekat, iaitu guru sambilan, Noorhidayah Halim, 28, yang menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi peserta paling muda, Siti Erinshahira Jamaludin, 16, yang membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Lima finalis lain turut mendapat hadiah sagu hati RM2,000 setiap seorang iaitu Ahmad Marzuki Nor-din, 18; Siti Nadia Zaini, 26; Nur Hijrah Yahya, 28; Ahmady Mohd Spuan, 29, dan Nabilah Mohammad, 30.

Acara yang menggandingkan Awal Ashaari dan Amelin Idrus sebagai hos itu turut diserikan persembahan Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Naim Daniel, Rahimah Rahim, Azharina Azhar.

Tidak ketinggalan, bekas juara Bintang Klasik atau Bintang Nasional antaranya Alif Kadim, Anas Farhan dan Rizal Ahmad menghiburkan penonton dengan seleksi lagu malar segar.

Disiarkan secara langsung di TV1, pemenang ditentukan daripada 100 peratus markah juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail selain Datuk Yusni Hamid, Datuk Syafinaz Selamat, Fauziah Latiff dan Juliza Adlizan.

Persembahan dibahagikan kepada dua segmen iaitu solo selain ‘battle’ menerusi gandingan dua peserta.

Berita Harian X