Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:03pm
FARA dan Kamal yang bertunang 6 Julai lalu memilih Disember untuk disatukan sebagai suami isteri. Foto Ihsan Fara Hezel

Fara Hezel nikah Disember

KUALA LUMPUR: Bimbang diuji ketika meniti fasa pertunangan membuatkan kakak kepada penyanyi Aiman Tino, Fara Hezel mengambil keputusan merahsiakan dahulu berita gembira itu.

Fara yang juga peserta Big Stage musim pertama berkata, dia bertunang dengan Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin atau Kamal pada 6 Julai lalu dan bakal disatukan Disember ini.

“Ramai memberitahu, kekuatan cinta akan diuji ketika alam pertunangan. Itu yang membuatkan saya dan keluarga mengambil keputusan tidak menguar-uarkan mengenainya selagi belum tiba masa yang sesuai.

“Saya takut hubungan kami dilanda dugaan yang boleh menjejaskan ikatan cinta. Memandangkan tarikh pernikahan semakin dekat, keluarga memberi keizinan untuk kami berterus terang mengenai perkara itu,” kata penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Pasrah itu.


FARA dan Kamal bersama ahli keluarga pada hari pertunangan mereka. Foto Ihsan Fara Hezel

Tambah Fara atau nama sebenarnya, Nurfaraazira Yusri, dia mengenali Kamal yang menjalankan perniagaan sendiri, selain aktif menyanyi di sekitar Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu.

“Saya mula mengenalinya ketika menjayakan sebuah persembahan di Terengganu. Biarpun sudah tiga tahun berkawan, hubungan kami mulai rapat sejak April lalu,” katanya berharap, perancangan menuju hari bahagia mereka dipermudahkan.

Berita Harian X