Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:16pm
AMAR mengakui kesilapan membiarkan diri dijerat cinta tiga segi. - NSTP/Mahzir Mat Isa

'Silap saya biarkan diri terjebak cinta tiga segi'

KUALA LUMPUR: “Dalam hal ini, saya salahkan diri sendiri kerana membiarkan diri terjerat dengan cinta tiga segi,” demikian penjelasan pelakon, Amar Asyraf.

Nama pelakon berusia 33 tahun itu kembali hangat diperkatakan apabila dikaitkan dalam kontroversi cinta bersama seorang gadis, sedangkan dia masih berstatus suami orang.

“Saya tidak mahu membuka aib sesiapa, tambahan pula hubungan saya dengan gadis itu sudah berakhir pada Mac lalu. Biarlah apa yang berlaku menjadi rahsia kami.

“Saya juga berharap, penjelasan ini dapat menutup semua isu yang tercetus. Apa yang berlaku antara kami sudah menjadi sejarah dan tidak perlu dikenang lagi.

“Tetapi, jika ada pihak yang terus mengungkit perkara itu, saya tidak teragak-agak membawanya ke muka pengadilan,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi isterinya, Arna Salleh, susulan kontroversi yang tercetus, Amar atau nama lengkapnya Amar Asyraf Zailudin berkata, hubungan mereka masih berjalan dengan baik.


Amar dan isterinya, Arna Salleh. - Ihsan IG Amar Asyraf

Amar berharap, penjelasan ini dapat menutup semua isu yang tercetus. - Ihsan IG Amar Asyraf

“Isteri tahu hubungan saya dengan gadis itu. Dia tidak melatah, malah tenang apabila saya berterus terang perkara sebenar. Dia bagaimanapun, terkilan apabila cerita itu mula tersebar.

“Keluarga juga tahu mengenai perkara itu. Saya akui, saya yang patut dipersalahkan dalam hal ini dan tidak akan sekali-kali menuding jari menyalahkan orang lain,” katanya.

Terdahulu, seorang gadis yang dikenali sebagai Ellika Azman membuat pendedahan, hampir mendirikan rumah tangga dengan pelakon lelaki popular berstatus suami orang.

Ellika dalam satu muat naik di Instagram, turut mendedahkan beberapa gambar dan video bersama pelakon itu, selain mendakwa, dia bertindak mendedahkan perkara itu supaya wanita lain di luar sana tidak tertipu dengan jerat dan ayat manis jejaka itu.

Mereka berkenalan ketika membintangi pementasan teater, Puteri Saadong di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, pada Ogos, tahun lalu.

Amar yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka mendirikan rumah tangga dengan Arna pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Taufik serta Ammara Dian.

Berita Harian X