Ahad, 6 Oktober 2019 | 1:13pm
PENERBIT dan pelakon, Firdaus Nadxaman. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Langsuir cabar kami perbaiki kelemahan'

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi, Guam TeamWork Sdn Bhd, berhasrat menerbitkan filem aksi pula selepas karya bercorak seram romantik mereka, Langsuir, gagal mencatat kejayaan membanggakan di pawagam.

Langsuir lakonan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, yang dihasilkan dengan kerjasama Nuansa Films, meraih kutipan RM2 juta apabila menemui penonton pada September tahun lalu.

Kata penerbitnya, Fridaus Nadxaman, mereka tidak patah semangat untuk terus mengeluarkan filem pada masa akan datang.

“Saya tentunya agak kecewa apabila Langsuir gagal mencatat kejayaan lebih besar di pawagam. Begitupun, ia tidak menghalang kami di Guam TeamWork untuk menghasilkan karya seterusnya. Kegagalan filem itu menjadi cabaran untuk kami memperbaiki kelemahan yang ada.

“Selepas ini, kami tidak boleh terburu-buru untuk menerbitkan filem. Apatah lagi, penonton semakin bijak membaca kandungan dan inti pati sesebuah karya dipersembahkan.

“Kami pula memang mempunyai hasrat untuk menghasilkan filem bercorak aksi, selepas ini. Malah, saya teringin mencuba sentuhan pengarah seperti Syafiq Yusof dan Ghaz Abu Bakar. Jika dapat bekerjasama dengan pelakon, Shaheizy Sam, ia lebih mengujakan kerana saya sendiri adalah peminatnya,” katanya.

Firdaus yang juga seorang pelakon bagaimanapun berkata, kemenangan Syafiq dan Hannah dalam kategori online, Gandingan Serasi Filem, pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 sedikit sebanyak mengubati kekecewaan mereka.

“Saya sememangnya berbangga dengan kemenangan mereka, lebih-lebih lagi pada anugerah yang dikira amat besar. Dengan saingan cukup sengit daripada calon lain, tentunya saya agak terkejut mereka mampu muncul pemenang. Nampaknya, sokongan peminat Syafiq dan Hannah masih kuat.

“Dalam kekecewaan apabila Langsuir dilihat gagal di pasaran, ada juga yang nampak jenama gandingan filem kami pada ABPBH 32,” katanya ketika ditemui pada sidang media Havoc Food Festival, di sini.

Festival makanan anjurannya yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, pada 1 hingga 3 November depan, antara lain turut membuka peluang kepada artis berpengalaman untuk menambah pendapatan dengan berniaga.

Berita Harian X