Jumaat, 4 Oktober 2019 | 2:47pm
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pada Sidang Media Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Lambang Sari, Istana Budaya. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Siti rakam semula lagu Sudirman

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal merakamkan semula lagu dendangan penghibur terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, berjudul Teratai Menjelma.

Menurut Siti, dia berbuat demikian sebagai usaha memartabatkan irama tradisional dan memastikan ia kekal relevan sampai bila-bila.

“Bagi album baharu yang kini dalam pembikinan, Siti akan menyanyikan semula lagu Allahyarham Sudirman, Teratai Menjelma. Ia sebuah lagu yang sedap didengar.

“Siti akui, agak lama tidak merakamkan lagu berentak tradisional. Jadi, Siti ambil keputusan untuk memuatkan lagu berkenaan dalam album baharu nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Istana Budaya, di sini.

Selain lagu terbabit, album yang bakal menemui peminat pada Januari 2020 itu juga memuatkan karya ciptaan Aubrey Suwito, Joe Flizzow dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

“Album ini bakal memuatkan 10 lagu. Selain tiga single Siti yang pernah dikeluarkan sebelum ini, Siti turut merakamkan tujuh karya baharu. Siti juga sedang menunggu lagu daripada Hael Husaini,” ujarnya.

Mengulas mengenai konsert itu, Siti berkata, sebagai penyanyi yang pernah bergelar anak didik Pak Ngah, pembabitan dalam persembahan berkenaan antara caranya membalas jasa komposer terbabit.

“Siti melihat Pak Ngah seperti keluarga sendiri. Kami sama-sama pernah melalui kesusahan dan untuk konsert pertama Siti dahulu, Pak Ngah yang jadi pengarah persembahannya.

“Kasih sayang yang diberikan Allahyarham dan keluarganya dapat Siti rasakan hingga ke hari ini,” ujarnya.

Komposer yang dikenali dengan lagu irama Malaysia itu meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada 25 September tahun lalu.

ASMIDAR, Ernie, Siti, Syamel dan Roger pada Sidang Media Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Lambang Sari, Istana Budaya. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Konsert yang bakal berlangsung pada 14 dan 15 November depan itu turut menyaksikan penampilan Syamel, Ernie Zakri, Asmidar dan Roger.

Tiket yang dijual pada harga RM66 hingga RM556 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com, mulai Isnin ini.

Berita Harian X