Sabtu, 28 September 2019 | 9:07am
PENYANYI, Mazleela, pada sidang media memperkenalkan peserta Gegar Vaganza 6 di Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Mazleela sebak terkenang budi Abang Bard

KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1990-an, Mazleela, 47, menitiskan air mata terkenangkan budi pegawai perhubungan awam Suria Records (SRC), Allahyarham Bahanordin Deraman, yang banyak berjasa terhadap perkembangan kerjayanya.

Katanya, Bahanordin yang dikenali sebagai Abang Bard menyaksikan jatuh bangun dirinya dalam industri seni sejak 1995 lagi, namun tidak sempat melihatnya beraksi dalam Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

“Sebelum ini, arwah selalu bertanya, bila saya mahu menyertai GV kerana ramai rakan seangkatan yang sudah pun berbuat demikian? Saya cuma katakan kepadanya, kalau ada rezeki tentu saya masuk.

“Tak sangka pula peluang itu hadir, tahun ini, apabila nama saya tersenarai antara 13 peserta terpilih. Rasa gembira dan sedih bercampur baur sebab Abang Bard sudah tiada lagi untuk menyaksikan kemunculan semula saya, selepas bertahun-tahun kembali ke Johor.

“Allahyarham pernah cakap, kalau saya masuk pertandingan ini, dia akan datang untuk memberikan sokongan moral. Namun, Allah lebih menyayanginya,” kata penyanyi lagu Tabah itu selepas majlis pengumuman peserta GV6, baru-baru ini.

Selain Mazleela, program yang bakal memulakan saingan pada 13 Oktober depan turut membariskan Noorshila Amin, Wann, Feeza, Roy, Naqiu Boboi, Ameer Sofarz, Kool, One Nation Emcees, Sham Visa, Nurfatima, Jatt Blackdog Bone dan Hady Mirza.

Bahanordin yang pernah menguruskan kerjaya ramai artis tersohor, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan New Boyz, menghembuskan nafas terakhir berikutan komplikasi penyakit kencing manis pada 17 Jun lalu pada usia 53 tahun.

Akui Mazleela lagi, paling membuatkannya terkilan apabila tidak sempat memberikan penghormatan terakhir kepada insan dihormatinya itu ketika pengebumiannya, berikutan masalah tidak dapat dielakkan.

Sepanjang pembabitan di arena seni suara, Mazleela pernah menghasilkan lima album studio dan beberapa album kompilasi sebelum mengambil keputusan kembali ke Johor selepas mendirikan rumah tangga.

Berita Harian X