Jumaat, 27 September 2019 | 6:30pm
PENYANYI, Mamat, ketika ditemui pada sesi latihan menjelang konsert Exists Reunion di Stadium Malawati. - NSTP/Saddam Yusoff

Emosi stabil, Mamat yakin mampu beri persembahan terbaik

SHAH ALAM: Penyanyi, Mamat, menegaskan sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik apabila muncul menghiburkan peminat pada konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, di sini, esok.

Katanya, dia yakin dapat berbuat demikian kerana tahap kesihatan dan emosinya kini dalam keadaan stabil.

Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 41, selain sokongan teman seperjuangan dan keluarga, semangatnya untuk terus memperbaiki diri turut dibantu oleh sesi kaunseling yang disertainya.

"Sesi kaunseling adalah perkara asas sebelum saya mendapat rawatan pemulihan sebenar, yang hanya akan dijalankan selepas konsert kami tamat.

"Ketika ini, ia lebih kepada sesi suai kenal bagi membolehkan mereka mengetahui latar belakang dan situasi sebenar saya.

"Alhamdulillah, penganjur dan kawan yang lain turut menjaga saya dengan baik. Kini, saya lebih yakin untuk memberikan persembahan terbaik pada konsert itu nanti," katanya kepada BH Online.

EZAD, Ajai dan Mamat akan menghiburkan peminat pada konsert Exists Reunion di Stadium Malawati Shah Alam, esok. - NSTP/Saddam Yusoff

Pada 8 September lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Salju Di Danau Rindu itu ditahan polis ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, bersama seorang rakan, kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Dua hari kemudian, dia dibebaskan dengan jaminan polis dan terus dibawa ke ibu kota oleh penganjur konsert, Shiraz Projects Sdn Bhd, bagi membolehkannya memberikan tumpuan kepada persediaan persembahan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, berkata mereka menyediakan dua skrin untuk memaparkan lirik lagu dipersembahkan kumpulan terbabit pada konsert berkenaan.

"Kita tahu, ramai peminat Exists akan datang, esok. Bagi memeriahkan lagi suasana, kami menyediakan dua skrin yang akan memaparkan lirik lagu bagi membolehkan peminat menyanyi bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert itu, di sini.

Pada persembahan berskala mega itu nanti, Exists dijadualkan menyampaikan 24 lagu secara penuh. Konsert itu juga akan dirakam dalam bentuk cakera padat (CD) sebagai kenangan buat peminat mereka.

Berita Harian X