Ahad, 22 September 2019 | 11:43pm
Mira Filzah dan Syafiq Kyle dinobat pemenang kategori Pelakon TV Wanita dan Lelaki Popular Alha Alfa. - NSTP/Rosela Ismail

Mira, Syafiq menyerlah di TV

PUTRAJAYA: Populariti ampuh mereka sebagai pelaris kaca TV selayaknya menyaksikan Mira Filzah, 26, dan Syafiq Kyle, 27, dinobat pemenang kategori Pelakon TV Wanita dan Lelaki Popular Alha Alfa.

Mira meledak dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda.

Baru-baru ini pula dia terus menyengat menerusi drama Sweet Dreams.

Bukan sekadar layar kecil, Mira turut menyerlah dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

“Tak saya nafikan memang berhabis-habisan untuk medium TV. Cuma bagi kategori filem, saya percaya belum cukup kuat secara peribadi.

“Tetapi kejayaan dalam kedua-dua kategori ini berkat sokongan peminat, termasuk kelab peminat Miraclegacy.

“Usaha dan penat lelah mereka membuahkan hasil. Ini kejayaan untuk mereka,” katanya yang pernah memenangi kategori Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 29.

Sementara itu, Syafiq pula percaya impak drama Nur menjadi faktor terbesar di atas kemenangannya.

“Tak boleh saya nafikan drama arahan Shahrulezad Mohamedin ini berjaya mencipta fenomena tersendiri.

“Pelakon lain yang terbabit dalam drama itu juga menerima tempias sama,” katanya yang turut diumumkan pemenang kategori online Gandingan Serasi Filem bersama Hannah Delisha (Langsuir).

Sementara itu, kategori Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 32 dimenangi Fattah Amin.

Bagaimanapun pelakon itu tidak dapat hadir menerima trofi kerana terikat dengan penggambaran di Melaka.

Berita Harian X