Ahad, 22 September 2019 | 11:22pm
Pasangan duet yang juga pemenang Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Khai Bahar serta Siti Nordiana. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kami menang bukan sebab gosip cinta - Khai, Nana

PUTRAJAYA: Pasangan duet yang juga pemenang Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Khai Bahar serta Siti Nordiana atau Nana tidak menganggap, gosip cinta menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan mereka.

Khai berkata, mereka percaya peminat menyokong dengan ikhlas, berdasarkan produk seni yang mereka pertaruhkan selama ini.

"Saya percaya, sokongan yang diberikan peminat adalah ikhlas berdasarkan hasil kerja seni kami. Ia tiada kaitan dengan gosip cinta yang diperkatakan ramai.

"Bagaimanapun, jika itu turut menjadi faktor, kami tidak kisah dan bersikap terbuka. Namun, secara peribadi, saya dan Nana masing-masing mempunyai penyokong yang kuat. Mereka berusaha keras mengundi kami,” katanya.


Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Khai Bahar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Nana menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah sempena dua dekad dia berada dalam industri. - NSTP/Aziah Azmee

Lagi gambar: https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2019/09/609530/anugerah-bint...

Sementara itu, Nana menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah sempena dua dekad dia berada dalam industri.

"Ini adalah hadiah paling manis buat saya sepanjang dua dekad dalam bidang seni. Semuanya kerana sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan peminat,” katanya.

Mengulas kemenangannya sebagai Pengacara TV Popular, Nana berkata, dia menjadikan kejayaan itu sebagai pembakar semangat untuk menjadi pengacara lebih baik.

"Saya semakin meminati kerjaya pengacara selepas mengendalikan program Gema Gegar Vaganza. Selepas itu, saya ada juga menerima pelawaan lain, di samping mengasah lagi kekuatan menerusi saluran TV YouTube sendiri,” katanya.

Nana berkata, jika diberi pilihan, dia memilih untuk mengendalikan program santai dan ringan.

"Buat masa ini, saya harus mendapatkan pengalaman dahulu. Saya tidak berani buat program berat lagi," katanya.

Berita Harian X