Khamis, 19 September 2019 | 11:05am
ISWAN mula menyerlah selepas membintangi drama Hero Seorang Cinderella dan Cik Reen Encik Ngok Ngek. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kerja keras Iswan buahkan hasil

KUALA LUMPUR: Selama dua tahun bekerja keras memperkenalkan nama, usaha pelakon kelahiran Singapura, Iswan Ismail membuahkan hasil apabila membolosi Top 5 Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Berbanding empat finalis lain iaitu Adam Lee, Afieq Shazwan, Atiq Azman dan Ryan Deedat yang selesa pada posisi masing-masing, Iswan, 30, mengakui namanya masih belum kuat untuk menandingi mereka.

“Saya tidak pernah memegang watak utama, sebaliknya hanya menggalas peranan pembantu sejak aktif berlakon, dua tahun lalu.

“Memikirkan peluang berlakon yang masih terbatas, malah ada kalanya gagal ketika menghadiri sesi uji bakat, saya langsung tidak menaruh harapan berada dalam senarai finalis.

“Apabila dimaklumkan nama saya terpilih, saya tidak mampu menahan air mata gembira. Sebaik pulang ke rumah, saya terus memeluk emak berkongsi kejayaan itu,” katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama seperti Hero Seorang Cinderella dan Cik Reen Encik Ngok Ngek itu berkata, dia sentiasa realistik dengan perjalanan yang ditempuhi.

Baginya, soal anugerah atau pencapaian masih terlalu awal untuk difikirkan kerana fokus utamanya adalah memperbaiki diri dan mencari peluang lakonan.

“Saya terkejut apabila nama membolosi senarai awal kerana belum layak. Terasa seperti tidak percaya pun ada apabila kawan menghantar mesej mengucapkan tahniah.

“Saya berterima kasih kepada kelab peminat, Iswan Force yang menjadi tulang belakang menaikkan nama saya. Soal menang atau kalah, saya serahkan pada rezeki,” katanya yang mula diperkenalkan menerusi drama, Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin pada 2017.

Iswan yang ditemui pada acara #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, baru-baru ini turut memanfaatkan kesempatan itu untuk mengeratkan hubungan dengan peminat.

“Acara ini membawa semangat yang luar biasa di antara peminat dan artis, malah secara tidak langsung mengeratkan lagi jalinan persahabatan antara kami.

“Saya teruja menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Melihat sokongan yang diberikan peminat, saya jadi terharu. Tidak sangka begitu sekali mereka menghargai bakat baharu seperti saya,” katanya.

Berita Harian X