Khamis, 19 September 2019 | 9:09am
PENYANYI, Sufian Suhaimi, dan anak angkatnya, Faeq Razeeq. - Foto ihsan Sufian Suhaimi

'Tiada isu saya ambil anak angkat'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi, menjelaskan pengambilan anak angkatnya, Faeq Razeeq, adalah atas persetujuan bersama ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Sufian, 27, berkata Faeq atau nama sebenarnya Muhammad Faeq Razeeq Muhammad Rizal dijadikan anak angkat tanpa membabitkan mana-mana jabatan atau agensi berkaitan kerana ia dilakukan menerusi permuafakatan bersama, apatah lagi ibu bapa si kecil adalah teman rapatnya.

"Ramai yang tidak jelas mengenai perkara ini, hingga sesetengah pihak menjadikannya bahan perdebatan. Ibu bapa Faeq adalah kawan baik saya sejak dahulu lagi dan kami sama-sama berasal dari Mersing, Johor. Sampai sekarang, hubungan kami akrab.

"Apabila kami berjumpa, Faeq pun ada sekali. Kami pula hampir setiap hari melepak bersama. Saya dapat rasakan, saya dan Faeq serasi, jadi saya meminta izin mahu menjadi ayah angkatnya.

"Saya mengambil Faeq sebagai anak angkat bagi mengisi rasa kekosongan dalam diri, selain ingin menjadi insan yang lebih baik," katanya kepada BH Online.

Katanya, tiada isu berbangkit berhubung perkara berkenaan, lebih-lebih lagi insan terdekat, keluarga dan peminat sama-sama gembira melihat kebahagiaan dikecapinya ketika ini.

Sufian juga berkata, selepas mengumumkan dirinya bapa angkat kepada kanak-kanak berusia setahun tiga bulan itu, dia berasa cukup teruja, terutama untuk mempelajari perkara berkaitan penjagaan anak.

Sementara itu, calon Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Lagu Paling Boom ini bakal berduet dengan artis Korea pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad ini.

Merahsiakan gerangan artis bakal ditampilkan, kata Sufian, dia bersama penyanyi berkenaan bertemu buat kali pertama ketika sesi latihan diadakan, semalam.

"Hari ini (semalam), baru kami sempat bersua muka. Tiada sebarang gimik akan dilakukan, tetapi masing-masing berharap dapat menyanyi dengan selesa pada malam kemuncak nanti.

"Cabarannya cuma kami perlu mencari titik keserasian agar persembahan berjalan dengan lancar,” katanya yang muncul dengan single berjudul Mencuba pada April lalu.

Berita Harian X