Rabu, 18 September 2019 | 5:31pm
ADIRA bersyukur proses rakaman Takdir Tercipta berjalan lancar biarpun dilakukan ketika dia sarat hamil. Foto NSTP

Adira kekok tapi profesional

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun tidak bergandingan, penyanyi Adira Suhaimi mengakui, agak kekok apabila kembali dipertemukan dengan Hafiz Suip menerusi lagu duet terbaru, Takdir Tercipta.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi bagaimanapun, menjelaskan perasaan janggal itu hanya dirasai pada permulaan memasuki studio rakaman dan ia hilang apabila Hafiz turut memberikan kerjasama yang baik.

“Walaupun projek ini dirancang pada saat akhir, saya dan Hafiz bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Proses rakaman lagu ini agak mencabar kerana ia dilakukan ketika saya sarat hamil pada Jun lalu.

“Tipu jika saya kata tidak kekok untuk menyanyi semula bersama Hafiz, tetapi perasaan itu tidak lama. Dalam soal kerja, kami perlu profesional dan meletak ke tepi hal peribadi. Secara jujur, saya memang teruja menanti reaksi peminat, terutama selepas empat tahun kami tidak bekerjasama.

“Sudah pasti, saya meletak harapan tinggi untuk melihat lagu ini diterima peminat seperti Ombak Rindu yang pernah mencetus fenomena pada 2011,” katanya.

MESKIPUN kekok, Adira dan Hafiz profesional menyempurnakan rakaman Takdir Tercipta. Foto Ihsan Nova Music

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali itu diperkenalkan di semua platform digital muzik bermula 9 September lalu, selain turut terpilih menjadi lagu tema drama, Lelakimu Yang Dulu siaran slot Akasia di TV3.

Berkongsi perkembangan peribadi, Adira yang melahirkan anak ketiga pada 8 Ogos lalu mengakui, tidak mudah menguruskan tiga cahaya mata yang sedang membesar.

Biarpun menggunakan khidmat pembantu rumah, penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Hatiku lebih selesa menguruskan sendiri anaknya.

“Memang tidak mudah menjaga tiga anak yang masih memerlukan perhatian rapi, namun lama-kelamaan saya mula terbiasa. Alhamdulillah, anak sulung, Anggrek sudah boleh berjalan dan bercakap, manakala adiknya, Assan pula baharu ‘mendapat kaki’.

“Saya juga harus memastikan lantai sentiasa bersih kerana Assan suka memasukkan benda yang bukan-bukan ke dalam mulut. Kadang-kadang mereka suka mengganggu adik, jadi saya perlu sentiasa mengawasi pergerakan setiap anak.

“Mereka juga masih tidur bersama saya kerana saya hanya menggunakan khidmat pembantu rumah pada sebelah siang,” kata Adira.

Penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Berita Harian X