Rabu, 18 September 2019 | 9:00am
IDZHAM terkilan dikatakan sengaja berpura-pura menunjukkan kebahagiaan di laman sosial. Foto IG Idzham Ismail

'Kongsi cerita bahagia pun orang kecam...'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Idzham Ismail, terkilan apabila segelintir pihak menganggap dia sengaja mempamerkan kebahagiaan gara-gara sering memuat naik gambar bersama isteri dan anaknya di media sosial.

Idzham mengakui, dia kebingungan apabila kerap menerima mesej peribadi daripada individu yang tidak berpuas hati, sedangkan foto itu adalah rakaman kenangan indahnya bersama keluarga.

“Pernah ada individu menghantar mesej menggunakan akaun palsu dan mengecam saya. Katanya, saya tidak perlu berpura-pura bahagia kerana alam perkahwinan tidak sentiasa indah.

“Apa tujuan dia berbuat demikian? Naik turun dalam perkahwinan itu lumrah dan mana ada pasangan yang sentiasa bahagia. Salahkah saya berkongsi momen gembira menerusi media sosial sebagai inspirasi kepada pasangan lain?

“Bohong jika saya dan isteri tidak pernah bergaduh, tetapi semua itu berbalik kepada niat kita. Saya memilih hanya memuat naik momen indah supaya saya lebih menghargai isteri.

“Setiap kali menatap gambar itu, ia mengingatkan kenangan manis kami bersama-sama. Secara tidak langsung, ia membantu meredakan perasaan, malah membuatkan saya rindu momen manis, terutama ketika kami sedang berselisih faham,” katanya.

Pelakon Juvana itu berkata, luahannya itu juga bertujuan menyebarkan mesej positif kepada pengikutnya di laman sosial, sekali gus memberinya peringatan supaya tidak tersasar dalam menyusun langkah.

“Pilihan ada di tangan kita dan semuanya hanya di hujung jari. Kenapa mahu pilih sebarkan kebencian sedangkan banyak perkara manis boleh dikongsi?

“Alhamdulillah, kebanyakan pengikut menerima secara positif apa yang saya sampaikan. Saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong,” katanya.

Idzham mendirikan rumah tangga dengan Siti Nur Abillah Shamsuddin pada 27 Ogos 2016. Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Sofea Inara.

Berita Harian X