Selasa, 17 September 2019 | 9:05pm
PELAKON, Lufya Omar dan anaknya, Laana Haura, ketika menghadiri sebuah majlis di Petaling Jaya pada Mei lalu. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Pulangkan saya dengan cara baik juga - Lufya

KUALA LUMPUR: “Saya terima ketentuan-Nya jika suami mahu menceraikan saya, tetapi biarlah menerusi saluran betul dan melakukannya sebagai lelaki budiman.

“Jika dia mengambil saya dengan cara baik, maka pulangkan dengan cara yang sama. Jangan cakap dia sudah melafazkan cerai menerusi WhatsApp,” kata pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, 34.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar berkata demikian kepada BH Online sewaktu mengulas dakwaan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz, konon dia sudah melafazkan cerai ke atas isterinya menerusi aplikasi berkenaan.

Dakwa Lufya, dia tidak tahu menahu mengenai tindakan suaminya itu, malah mengakui bingung dengan perkara terbabit.

“Saya langsung tak terima lafaz cerai seperti didakwanya dilakukan terhadap saya menerusi WhatsApp.

“Kalau dia ada memfailkan perceraian, saya pasti ada menerima dokumen berkaitan,” dakwanya yang akur jika perpisahan menjadi titik akhir kemelut rumah tangga mereka.

Kata Lufya lagi, suaminya perlu menjadi lelaki yang bertanggungjawab.

“Dia kena fikir, dirinya mempunyai anak. Semua ini adalah untuk kebaikan dan hormatilah cara sepatutnya bagi melepaskan wanita yang kamu kahwini,” katanya.

Bintang Mahar Tanpa Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.

Pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai, malah ada pihak mendakwa pasangan terbabit mahu berpisah. Namun, menerusi Instagram (IG), Lufya menjelaskan perkahwinan mereka masih utuh, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

Beberapa hari lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi bualan apabila pelakon itu memuat naik status mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab selepas tiga bulan berkahwin.

Berita Harian X