Ahad, 15 September 2019 | 9:03pm
Ruhainies bimbang jika ada bahagian dalaman anggota keluarganya cedera akibat kemalangan di ibu negara, awal pagi tadi. Foto Salhani Ibrahim

Ibu bapa Ruhainies kemalangan

KUALA LUMPUR: Pulang daripada meraikan hari jadi ayah, pelakon Ruhainies tidak menyangka mereka sekeluarga berdepan ujian apabila kereta dinaiki insan kesayangan terbabit dalam kemalangan, awal pagi tadi.

Berkongsi insiden mencemaskan itu, Ruhainies berkata, kemalangan berlaku di Jalan Tun Razak, iaitu berhadapan dengan Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada jam 2 pagi.

“Kami sekeluarga pulang daripada meraikan hari jadi ayah, Zainul Ilyas. Emak dan ayah menaiki kereta bersama adik-beradik lain iaitu kakak, Risteena Munim, Muhammad Nul Iman dan Nur Riesya Sharmin.

“Apabila melalui lokasi kejadian, tiba-tiba muncul sebuah kereta dari hala bertentangan. Riesya yang memandu tidak dapat mengelak lalu berlanggar,” katanya kepada BH Online.

Ketika kejadian, Ruhainies menaiki kereta lain.

Ruhainies atau nama penuhnya, Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, berkata, adik-beradiknya dikhuatiri mengalami kecederaan dalaman dan kepala ayah bengkak.

“Pergelangan tangan ibu iaitu Che Bunga Salleh, pula patah.

“Saya masih berada di hospital menemani ayah untuk membuat pemeriksaan lanjut. Takut jika ada kecederaan dalaman yang lain,” katanya.

Ruhainies berkata, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, di sini, selepas kemalangan itu.

Tambah pelakon itu, kereta jenis Kia Sportage yang dinaiki keluarga rosak teruk.

Berita Harian X