Ahad, 15 September 2019 | 5:00pm
KUALA LUMPUR 28 OGOS 2019. Penyanyi, Erra Fazira ditemui selepas Majlis Penganjuran Malaysia's Makeup Artist Award 2019, di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD.

Tak sangka 'sangkut' - Erra Fazira

KUALA LUMPUR: Pernah merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tujuh kali sejak 1994, siapa kata aktres jelita, Erra Fazira sudah hilang pesona.

Pada edisi terbaru acara anugerah hiburan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini, Erra kembali tercalon bersama empat pesaing termasuk ‘orang lama’, Delimawati yang popular dalam filem Hantu Kak Limah.

Mengulas pencalonannya, Erra yang baru bergelar ‘hajah’, tidak menyangka dirinya bolos Top 5.

“Saya terkejut dan terharu sebaik dimaklumkan nama melekat dalam calon akhir. Maklumlah, ramai lagi calon lebih baik termasuk dalam kalangan artis generasi baharu.

“Saya tidak menyangka dicalonkan sebab tidak banyak produk filem menemui penonton. Saya mengaku populariti tidak lagi seperti dahulu.

“Namun, saya bersyukur ‘tersangkut’ kali ini. Ibarat menjadi bukti, masih ada yang percayakan bakat ini.

“Lebih menggembirakan apabila ada calon senior seperti Delimawati. Ini menunjukkan penangan orang lama masih berbisa,” katanya kepada BH Online.

Kali ini, selain Delimawati, Erra berdepan saingan aktres pelapis iaitu Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Hannah Delisha.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 45, memenangi kategori sama pada ABPBH 1994, 1995, 2000, 2001, 2002, 2003 dan 2004.

Kali terakhir Erra bolos kategori sama adalah pada ABPBH 3.0 yang dimenangi Nur Fazura.

Erra percaya sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam pertandingan berasaskan populariti seperti ABPBH.

“Saya lihat pencalonan ‘orang lama’ memberi harapan kepada generasi lalu... Semuanya tidak mustahil.

“Ketika ada yang mengandaikan ABPBH bakal didominasi artis baharu atau generasi ‘budak baru nak up’ (BBNU), situasi sebaliknya boleh berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erra muncul dengan filem bercorak cemas, Wangi arahan Mohd Latiff Zami atau lebih dikenali dengan nama Yeop Hitler.

Berkongsi pengalaman, Erra mengakui seronok bekerja dengan teman seperjuangan yang faham mengenai tugasan yang perlu diselesaikan.

“Seronok bekerja dengan mereka yang berbakat, tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing. Mereka juga mahukan yang terbaik bagi projek dan jalan cerita yang hendak dipaparkan.

“Saya memegang watak Nor iaitu pensyarah di luar negara. Sekembali ke Malaysia, dia menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Nor insan penyayang dan lemah lembut, mempunyai suami serta anak. Konflik bermula apabila dia mendapati, adik angkatnya, Bella (lakonan Nabila Huda) tiba-tiba hilang.

“Ini mencetuskan misteri yang tidak terungkai,” katanya yang bakal muncul dengan single Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun, tidak lama lagi.

Berita Harian X