Khamis, 12 September 2019 | 1:00pm
SUMPAH mengembalikan sinar pada kerjaya nyanyian Aina. Foto Aizuddin Saad

Aina idam beraksi di pentas AJL

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul mengakui, single terbarunya, Sumpah memberikan nafas baharu pada kerjaya nyanyiannya yang sebelum ini suram.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Mentor Legend pada 2014 itu berkata, penerimaan ramai terhadap lagu itu membuatkan dia enggan lagi menoleh ke belakang.

“Sudah lama nama saya tenggelam dalam industri hiburan, namun Sumpah perlahan-lahan membuka ruang untuk saya menikmati erti populariti.

“Misi saya seterusnya adalah melangkahkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Tanyalah mana-mana penyanyi, terutama bakat baharu, pasti beraksi di pentas AJL menjadi impian semua.

“Saya berdoa tuah Sumpah akan merealisasikan impian yang sudah lama terpendam itu,” kata pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu.


SELEPAS membolosi ABPBH 32, Aina menyimpan harapan untuk beraksi di pentas AJL pula. Foto Zunnur Al Shafiq

Anak didik Ratu Rock, Ella itu berkata, dia juga menerima kejutan apabila namanya membolosi Top 5 kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Semua itu kata Aina, 26, tidak akan berlaku tanpa sokongan kelab peminatnya, Aination yang setia bersama ketika susah dan senang.

“Nama saya tidak sehebat penyanyi lain, malah pernah tenggelam kerana sudah lama tiada lagu baharu. Sebelum Sumpah, saya ada merakamkan lagu Inggeris, Shadow dan dari situ, ramai mengusulkan saya tampil dengan single Melayu.

“Memandangkan segala keputusan dibuat sendiri, saya hanya menurut saranan peminat. Alhamdulillah, Sumpah diterima ramai hingga nama saya tersenarai dalam Top 5 ABPBH 32, selain mendapat undian tertinggi program Muzik Muzik 34,” katanya.

Kategori Artis Baharu Wanita Popular menyaksikan penyanyi yang berasal dari Negeri Sembila itu berdepan saingan daripada Amelia Henderson, Haneesya Hanee, Masya Masyitah dan Sarah Suhairi.

1168 dibaca
Berita Harian X