Rabu, 11 September 2019 | 11:05am
PELAKON, Farah Nabilah, seronok dapat meluangkan masa bersama peragawati terkemuka dunia, Gigi Hadid, ketika berada di New York. - Foto Instagram Farah Nabilah

Farah kagumi sikap rendah diri Gigi Hadid

KUALA LUMPUR: Meluangkan masa selama dua jam bersama supermodel, Gigi Hadid, antara kenangan paling manis buat pelakon, Farah Nabilah, 27, ketika berada di New York, Amerika Syarikat (AS).

Menjejakkan kaki ke negara Uncle Sam sejak awal bulan ini, bintang drama Kau Yang Pertama itu terbang ke sana atas undangan sebuah jenama antarabangsa.

“Antara agenda disusun penganjur adalah acara yang memberikan peluang kepada tetamu undangan meluangkan masa bersama Gigi. Acara berlangsung selama dua jam dalam suasana penuh intim.

“Sambil menikmati jamuan, aktiviti kreatif termasuk memberikan nafas baharu kepada jaket kosong, dengan menggunakan pelbagai jenis pin, turut diadakan.

“Malah, Gigi sendiri turut berkongsi pelbagai petua solekan bersama kami,” kata Farah ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.


BERSAMA model terkenal antarabangsa, Adriana Lima. - Foto Instagram Farah Nabilah

Tambah calon kategori Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, bersama Fikry Ibrahim itu, selebriti terbabit meminta mereka meletakkan ketepi telefon bimbit sepanjang acara berlangsung.

“Dia memang tidak suka acara sebegitu diganggu oleh alat telekomunikasi. Jadi, tetamu memang tak boleh pegang telefon bimbit langsung. Saya suka sikapnya yang amat menghargai ruang waktu diberikan.

“Bagaimanapun, sebalik sahaja acara selesai, dia tetap membenarkan kami mengambil gambar, termasuk berswafoto dengannya.

“Dia juga seorang yang sangat merendah diri dan baik. Saya tak sangka, pada tahapnya sekarang, dia kekal membumi,” kata Farah yang turut berpeluang bergambar dengan beberapa peragawati terkemuka antarabangsa lain pada acara berbeza, termasuk bersama Adriana Lima.

Menurut Farah, dia akan berada di AS selama hampir sebulan.


FARAH akan berada di Amerika Syarikat sehingga hujung September. - Foto Instagram Farah Nabilah

“Selesai tuntutan kerja di sini, saya akan terbang ke Los Angeles bagi menyambung cuti bersama keluarga. Kami akan bercuti kira-kira 10 hari, di sana. Kemudian, saya dan keluarga akan menyambung cuti di New York,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada hujung September.

1411 dibaca
Berita Harian X