Isnin, 9 September 2019 | 3:12pm
HAFIZ dan Adira berharap Takdir Tercipta mengulangi magis yang pernah dicipta Ombak Rindu. Foto Ihsan Nova Music

Takdir Tercipta temukan semula Hafiz, Adira

KUALA LUMPUR: Gandingan Hafiz Suip dan Adira Suhaimi pernah mencetus fenomena menerusi lagu duet, Ombak Rindu pada 2011.

Keserasian mereka menyampaikan lagu romantis itu meninggalkan kesan mendalam di hati peminat, malah menjadikan Ombak Rindu kekal popular sehingga hari ini.

Susulan kejayaan itu, mereka seterusnya tampil bersama lagu duet, Untuk Cinta yang turut menjadi lagu tema filem Pilot Cafe pada 2015.

Kejayaan kedua-dua lagu duet itu mendaki carta di pelbagai stesen radio membentuk Hafiz dan Adira sebagai gandingan duo yang serasi.

Selepas empat tahun membawa haluan masing-masing, pasangan itu kembali ditemukan dalam lagu, Takdir Tercipta, ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang dilancarkan, hari ini.

“Kembali merakamkan lagu dengan Hafiz adalah pengalaman yang menyeronokkan. Sudah lama kami tidak ditemukan dalam lagu.

“Bagi saya, Hafiz sangat komited dan profesional dengan kerjanya. Kelunakan suara dan kemahiran seni vokalnya menjadi tunjang kekuatan, sekali gus memudahkan kami bekerjasama.

“Saya harap, lagu ini juga mendapat sokongan tidak berbelah bahagi peminat dan diingati seperti Ombak Rindu yang pernah mencetus fenomena sedikit masa dahulu,” kata Adira.

Sementara itu, Hafiz pula berharap lagu duet mereka akan menamatkan penantian dan kerinduan peminat yang mahu dia serta Adira kembali berduet.

“Secara kebetulan, single solo kami iaitu Kisah Cinta Kita dan Pujaan Hati turut menggunakan khidmat komposer sama. Perkara ini sebenarnya tidak dirancang.

“Secara peribadi, saya memang suka dengan karya ciptaan mereka. Saya berharap, lagu duet ini akan kembali menghantui persada muzik seperti sentuhan sebelum ini,” kata Hafiz sambil menyifatkan, gandingan mereka sedikit istimewa kerana hanya muncul empat tahun sekali.

Takdir Tercipta turut terpilih menjadi lagu runut bunyi drama, Lelakimu Yang Dulu dibintangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose. Ia bakal bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 19 September ini.

Berita Harian X