Sabtu, 7 September 2019 | 9:30am
PENYANYI, Ismail Izzani, sewaktu memeriahkan acara sidang media pengumuman malam kemuncak ABPBH 32 di Balai Berita NSTP. - NSTP/Aziah Azmee

Ismail bakal gegar pentas ABPBH 32 bersama Zizan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ismail Izzani, teruja apabila terus diberikan peluang menghangatkan pentas malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September ini, bintang remaja berkenaan akan muncul bersama artis serba boleh, Zizan Razak, pada acara yang dijangka berlangsung dengan penuh gemilang itu.

Ismail berkata, peluang diberikan pihak penganjur, BH, pasti menjadi ruang cukup berharga buat bakat baharu sepertinya berkongsi bakat dengan peminat dan penggemar seni hiburan.

“Semestinya peluang menjayakan persembahan di pentas ABPBH diidamkan oleh ramai artis atau penggiat seni. Jadi, saya berasa cukup bertuah apabila sekali lagi dihulurkan peluang keemasan berkenaan. Jika tahun lalu saya berkongsi pentas bersama Nabila Razali, kali ini saya digandingkan pula dengan Zizan.

“Kami bakal mempersembahkan lagu baharu, Berserah. Lagu itu sendiri bukan sekadar hiburan, sebaliknya karya yang sarat dengan mesej bermakna. Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka lagu terbabit menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat.

ISMAIL dan Zizan berkolaborasi menerusi lagu baharu, Berserah. - Foto Instagram Zizan Razak

“Ketika ini, video liriknya sudah ditonton hampir enam juta kali di YouTube. Mengikut perancangan, video muzik rasminya akan dilancarkan dalam masa terdekat,” kata Ismail yang mula dikenali dalam dunia seni dengan lagu Sabar.

Selain mereka, pentas malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu akan turut dimeriahkan kemunculan penyanyi hebat seperti Aishah, Liza Hanim, Ernie Zakri, Idayu, Hazama, Black dan Akim Ahmad.

Segmen persembahan juga membariskan Zamaera, SonaOne, Alif, Ariff Bahran, Andi Bernadee, De Fam, Stacy, Sufian Suhaimi dan artis K-pop yang masih dirahsiakan identitinya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Ismail memberitahu, dia bakal tampil dengan lagu duet bersama Andi, bulan depan.

Sementara itu, ditanya mengenai keakrabannya dengan teman seperjuangan, Shalma Eliana, Ismail memilih untuk tidak meletakkan sebarang label terhadap hubungan mereka.

Sebaliknya, dia lebih selesa melihat gadis manis terbabit, yang sudah dikenali sejak di Tingkatan Dua, sebagai teman sejiwa.

“Dia seorang yang sangat menyenangkan, baik hati dan bersifat terbuka. Selain keluarga dan teman rapat, Eliana juga antara yang sentiasa berada di sisi, ketika saya susah mahupun senang.

“Kami berkawan rapat dan berkongsi minat sama, iaitu nyanyian. Jadi, sedikit sebanyak ilmu yang ada dikongsi bersamanya. Apapun, buat waktu ini kami mahu fokus pada kerjaya. Eliana sendiri sibuk dengan pengajiannya,” katanya.

Sebelum ini, persahabatan dua artis muda itu, yang sering memuat naik foto bersama di laman sosial, mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet.

Berita Harian X