Khamis, 5 September 2019 | 11:00am
PELAKON cilik, Nik Harraz Danish. - NSTP/Syakirah Azhar

Bintang cilik curi perhatian dalam Dendam Pontianak

KUALA LUMPUR: Bakat cilik, Nik Harraz Danish, mengaku cukup terkejut apabila dimaklumkan bakal membintangi filem seram, Dendam Pontianak, bersama bintang hebat seperti Nur Fazura dan Remy Ishak.

Dia bertambah gementar apabila karya arahan Glen Goei dan Gavin Yap itu turut membariskan datuk saudaranya yang juga aktor berkaliber, Wan Hanafi Su.

“Apabila saya dapat tahu akan berlakon di samping bintang terkemuka tanah air seperti abang Remy dan kak Fazura, saya akui memang terkejut pada mulanya. Apatah lagi datuk saudara saya juga berlakon sama.

“Begitupun, Dendam Pontianak pastinya menjadi filem pertama yang meninggalkan pelbagai kenangan indah untuk saya. Banyak memori tidak dapat dilupakan terakam ketika saya menjayakan penggambaran filem berkenaan.

“Sebagai pelakon yang masih begitu hijau, ia turut menjadi medan terbaik untuk saya menguji kemampuan dan berkongsi bakat bersama orang ramai,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem terbabit, baru-baru ini.

Julung kali tampil di layar lebar, persembahan pelakon berusia 10 tahun ini dalam naskhah terbabit dikira membanggakan.


PENGARAH, Gavin Yap (empat dari kiri) bersama pelakon, Nam Ron, Tony Eusoff, Nabila Aqilah, Remy Ishak, Nur Fazura, Hisyam Hamid, Nik Harraz Danish dan Shenty Feliziana pada Malam Gala Dendam Pontianak di Mutiara Damansara. - NSTP/Aziah Azmee

Memegang watak sebagai Nik, kemampuan anak kedua daripada tiga beradik ini beraksi bersama pelakon jauh lebih berpengalaman turut mendapat pujian ramai.

“Saya cuba menghidupkan watak Nik secara santai. Selain itu, saya menyerap kekuatan pelakon lain bagi memberikan nyawa kepada watak berkenaan.

“Saya juga mendengar setiap arahan dan nasihat diberikan pengarah. Tunjuk ajar mereka amat membantu saya di lokasi penggambaran. Saya mengambil pendekatan berfikir dahulu sebelum berbuat apa-apa,” kata pelajar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ini yang mula terbabit dalam lakonan iklan sejak berusia tujuh tahun.

Filem terbitan produksi Singapura, Tiger Tiger Pictures, dengan kerjasama Primeworks Studios itu akan mula ditayangkan pada 12 September ini.

Ia turut dibintangi Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Nam Ron, Tony Eusoff, Nadiah Aqilah dan Nadiah M Din.

Berita Harian X