Isnin, 2 September 2019 | 2:45pm
MARK bersyukur impian yang terpendam sejak 23 tahun lalu untuk menghadiahkan ibunya rumah menjadi kenyataan. Foto IG Mark Adam

Mark Adam tunai janji hadiahkan ibu rumah

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mark Adam bersyukur, hasrat menghadiahkan ibunya kediaman selesa yang pernah diluahkan ketika dia berusia 16 tahun terlaksana, semalam.

Mark ditemani isteri, Norazah Redzuan, 40, pulang ke kampung halamannya di Cebu, Filipina untuk membuat kejutan pada insan paling istimewa dalam hidupnya itu.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram, penyanyi berusia 39 tahun itu membawa ibunya yang ditutup mata menaiki motosikal ke rumah baharu yang tidak jauh dari kediaman lama mereka.

Reaksi ibunya yang terpinga-pinga sebaik penutup matanya dibuka membuat pengikut laman sosial finalis Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu sebak.

Ruangan komen laman sosial penyanyi itu turut dibanjiri pujian, termasuk daripada rakan artis yang terharu dengan sikap Mark yang sentiasa mengutamakan kebajikan ibunya.

“Ketika zaman kanak-kanak, kami pernah tinggal di perkampungan setinggan yang hanya berlantaikan pasir, tanpa perabot, mahupun katil dan tilam.

“Saya berjanji dengan emak apabila besar, saya akan belikan dia sebuah rumah. Janji itu dibuat pada 1996,” katanya.

Apabila berhijrah ke Malaysia, seterusnya mendirikan rumah tangga, Mark dan isteri sepakat menempatkan ibunya bersama adik-beradiknya di sebuah rumah sewa yang lebih selesa.

Terdahulu, sekitar Mei lalu, penyanyi lagu Marry Me itu sempat pulang ke Filipina bagi memantau perkembangan rumah dua tingkat yang ketika itu baru 50 peratus siap.

Kediaman baharu di kampung sudah lama diimpikan Mark dan keinginan itu semakin membara sejak dia berkecimpung dalam bidang seni, lebih lima tahun lalu.

Sementara itu, dalam perkongsian awal ketika pulang ke Cebu, tiga hari lalu, pasangan terbabit lebih dahulu menghadiahkan televisyen 62 inci untuk wanita itu.

Berita Harian X