Sabtu, 31 Ogos 2019 | 2:48pm
NOOR Nabila bersama suami, Sharnaaz Ahmad, dan anak mereka, Jebat Jayden. - Foto Instagram Jebat Jayden

Nabila sahkan fail perceraian terhadap Sharnaaz

KUALA LUMPUR: Kakak pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor, 35, mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suami, Sharnaaz Ahmad.

Bercakap secara eksklusif kepada BH Online, dia yang juga Pengarah Urusan NH Prima International bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Seperti khabar angin yang bertebaran, saya mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya, Sharnaaz Ahmad.

“Buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada mahkamah. Saya berharap, saya dan keluarga diberi ruang untuk melalui proses ini dengan sabar dan tenang,” katanya.

Apa yang lebih penting, kata Nabila, adalah masa depan anak tunggal mereka, Jebat Jayden, yang baru berusia setahun.

“Doakan kesejahteraan saya dan anak saya,” katanya.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Nabila memfailkan perceraian terhadap pelakon filem Wangi itu.

Nabila difahamkan berbuat demikian apabila berkongsi sekeping foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story miliknya.

Malah, wanita berkenaan juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Sharnaaz, 34, dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

22234 dibaca
Berita Harian X