Khamis, 29 Ogos 2019 | 7:21pm
PELAKON, Sharnaaz Ahmad, di sisi anak tunggalnya, Jebat Jayden. - Foto Instagram Jebat Jayden

Hanya anak terbayang di fikiran - Sharnaaz

KUALA LUMPUR: “Walau apapun yang berlaku, Jebat tetap akan berada di sisi sampai saya menutup mata,” demikian kenyataan aktor, Sharnaaz Ahmad, ketika mengulas gosip mengatakan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, memfailkan perceraian seperti dilaporkan sebuah portal hiburan, hari ini.

Akui Sharnaaz, dia tidak tahu apa yang perlu dijelaskan mengenai perkara itu kerana dirinya sendiri kini dalam kebingungan.

“Buat kali pertama dalam hidup, saya tidak dapat hendak mengungkapkan perasaan sendiri, ketika ini. Saya bagai kehilangan kata-kata dan tak tahu nak cakap apa. Saya rasa kosong.

“Apa yang terbayang dalam fikiran adalah anak saya. Itu sahaja,” katanya kepada BH Online.

Menurut laporan portal terbabit, Nabila dikatakan memfailkan perceraian apabila memuat naik sekeping foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story miliknya.

Malah, wanita berkenaan juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Ditanya penjelasannya berhubung dakwaan terbabit, Sharnaaz yang bakal muncul dengan filem terbaru, Wangi, menyerahkan kepada takdir untuk menentukan segala-galanya.

“Tiada apa yang boleh saya ulas. Biarlah masa yang akan menceritakan semuanya. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh hubungi Nabila sendiri,” katanya.


NABILA dan anaknya, Jebat Jayden. - Foto Instagram Noor Nabila

Sebelum ini, perkahwinan antara Sharnaaz dan Nabila dikatakan pernah berdepan masalah. Namun, perhubungan mereka dilihat semakin pulih, sejak Februari lalu.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden, pada Ogos tahun lalu.

32899 dibaca
Berita Harian X