Rabu, 28 Ogos 2019 | 1:18am
Azar mengaku masih tidak sihat sepenuhnya namun bersemangat meneruskan persembahan malam ketujuh teater Pawana Isabella di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Junita Mat Rasid

Azar rasa bersalah dengan Umie

KUALA LUMPUR: Terpaksa berehat sehari akibat migrain dan dehidrasi, Azar Azmi diburu rasa bersalah apabila watak Permaisuri Cahya Tishakur dalam teater Pawana Isabella terpaksa diambil alih Datin Paduka Umie Aida secara ‘bidan terjun’, kelmarin.

Tampil melakonkan watak antagonis di pentas teater arahan Erma Fatima di Istana Budaya di sini, malam tadi, Azar mengaku gusar memikirkan tugas berat itu terpaksa dipikul Umie.

"Sampai sekarang saya rasa bersalah dengan Kak Umie yang terpaksa melakukannya dalam keadaan terdesak.

"Dengan dialog panjang dan rutin yang perlu dihafal, saya amat berterima kasih kepada Kak Umie yang menjayakan watak Permaisuri Cahya Tishakur dengan baik," katanya ditemui selepas berakhirnya persembahan malam ketujuh di sini, malam tadi.

Semalam, BH Online melaporkan persembahan malam keenam dikejutkan dengan penampilan ‘bidan terjun’ Umie yang menggantikan Azar pada saat-saat akhir.

Umie yang juga adik kepada Erma, menggantikan Azar yang sakit hingga tidak dapat meneruskan persembahan.


Persembahan malam keenam dikejutkan dengan penampilan ‘bidan terjun’ Umie yang menggantikan Azar pada saat-saat akhir. - IG Umie Aida

Azar membawakan watak Permaisuri Cahya Tishakur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Azar berkata, dia mula rasa tidak sedap badan pagi kelmarin disusuli migrain dan masalah kekeringan akibat kurang air.

"Saya cuba ambil ubat dan suntikan, namun tidak mampu untuk berlatih, apa lagi menjayakan persembahan malam kelmarin.

"Saya rasa tidak sedap hati apatah lagi senior yang disegani Kak Umie sanggup menggantikan saya.

"Bayangkanlah, saya mula berlatih kira-kira sebulan lalu namun tiba masanya, keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

"Malah, untuk persembahan tadi, saya masih mengambil ubat dan suntikan penahan sakit," katanya.

Pawana Isabella dipentaskan di Panggung Sari mulai 21 Ogos lalu selama 11 hari hingga 31 Ogos.


Pawana Isabella menyaksikan gandingan hebat Syafiq Kyle dan Janna Nick sebagai pelakon utama. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pementasan teater Pawana Isabella di Istana Budaya. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pawana Isabella dipentaskan di Panggung Sari mulai 21 Ogos lalu selama 11 hari hingga 31 Ogos. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pawana Isabella menyaksikan gandingan hebat finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Syafiq Kyle dan Janna Nick sebagai pelakon utama.

Ia turut membariskan Datuk Afdlin Shauki dan Johan Raja Lawak.

Teater itu mengisahkan semangat Permaisuri Isabella yang dilakonkan Janna, termasuk menyamar sebagai rakyat biasa serta untuk menyelamatkan bangsa Malayu di sebuah negara bernama Aksara, diperintah suaminya, Raja Al-Hasiq Ghibran lakonan Syafiq, seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Teater turut mengisahkan cubaan kaum pendatang di negara itu untuk menguasai ekonomi dan kuasa, tamak haloba pemimpin, pentingkan diri sendiri serta rasuah demi kemewahan.

Berita Harian X