Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:00pm
BIARPUN jarang berkongsi mengenai aktiviti seni, Adeline masih laris memenuhi tawaran berlakon. Foto IG Adeline Tsen

Adeline Tsen buat duit dengan melaram

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah berhenti berlakon, cuma jarang berkongsi perkembangan mengenai aktiviti seni di laman sosial.

“Selalunya, saya hanya berkongsi mengenai aktiviti lakonan menerusi Instagram Story. Lagipun, sesetengah penerbit tidak mahu produksi mereka dihebahkan terlalu awal,” kata pelakon Adeline Tsen.

Lebih banyak berkongsi gambar menghadiri acara tertentu, termasuk pertunjukan fesyen dan pelancaran produk, Adeline, 32, yang popular menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Rindu Awak 200% menjelaskan, lakonan masih tetap di hatinya.

Pemilik nama lengkap Adeline Anthony Primus Tsen itu berkata, dia masih aktif menerima tawaran dan sedang menjayakan penggambaran drama, Setelahku Dimiliki untuk slot Akasia di TV3 yang diterajui Zul Ariffin dan Intan Najuwa.

“Ikutkan, ada sahaja tawaran berlakon, cuma saya jarang berkongsi mengenainya di laman sosial. Kebiasaannya, saya akan memaklumkan mengenai drama terbaru apabila ia mula bersiaran,” katanya.

Sinonim dengan watak antagonis, Adeline berkata, dia tidak ralat memperlahankan aktiviti lakonan untuk memberi fokus kepada memenuhi undangan acara berbayar.

“Saya bukan suka-suka melaram ke sesuatu majlis, sebaliknya dibayar untuk setiap kemunculan. Seronok kerana komitmen tidak lama dan bayaran yang diberikan memang setimpal.

“Namun, ia tetap menuntut komitmen untuk memastikan kemunculan kita memberi impak pada acara atau produk yang dipromosikan.

“Saya banyak berhabis untuk kelihatan cantik, termasuk mendapatkan khidmat jurufoto profesional. Saya juga perlu menyediakan peruntukan untuk busana jika tidak mendapat tajaan.

“Semua itu memerlukan bajet, namun saya puas dapat mencari pendapatan tambahan jika tidak terikat dengan kerja lakonan,” katanya.

Berita Harian X