Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:18pm
HAIZA bersama peminat ketika mengendalikan siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Sabtu lalu. Foto Aziah Azmee

Haiza seronok turun padang dekati peminat

ALOR SETAR: Meskipun namanya tidak tercalon dalam barisan finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, peluang menyertai siri jelajah sebagai pengacara begitu dihargai Haiza.

Penyampai radio Kool FM itu berkata, selepas empat tahun tidak turun padang, dia teruja dapat bertemu peminat apabila menyertai siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, Johor Bahru dan Aman Central, Alor Setar, baru-baru ini.

“Pengalaman yang ditimba menerusi siri jelajah ABPBH 32 amat berharga, terutama apabila berpeluang mendekati peminat di luar Kuala Lumpur. Melihat keterujaan peminat di kedua-dua lokasi, membuatkan hati saya tersentuh.

“Baik peminat di Johor, mahupun di Kedah, mereka sangat ‘sporting’. Lebih mengujakan, siri jelajah ABPBH 32 juga mengeratkan silaturahim sesama selebriti kerana biarpun sama-sama terbabit dalam industri hiburan, kami jarang bersua muka,” katanya.

Berkongsi kenangan ketika menyertai siri jelajah kedua ABPBH 32 di Aman Central, Sabtu lalu, Haiza berkata, dia berdepan pengalaman lucu gara-gara mengejar masa untuk menaiki pentas.

“Disebabkan agak tergesa-gesa, saya tidak sengaja meletakkan kereta di ruang yang dikhaskan untuk seorang kenamaan yang kebetulan menghadiri acara lain di tempat sama.

“Tambahan pula, pengawal keselamatan yang bertugas memberi kebenaran untuk meletakkan kereta di ruang khas itu. Kelam-kabut dibuatnya apabila mendapat tahu perkara itu.

“Mujur, ada suami yang membantu mencari parkir lain, sementara saya pula bergegas menjalankan tanggungjawab mengendalikan siri jelajah ABPBH 32. Kelakar apabila teringat semula momen itu,” katanya.

Selepas siri jelajah kedua di Alor Setar, siri promosi ABPBH 32 diteruskan dengan acara santai bersama kelab peminat, #FANtastik dan showcase istimewa di Eco Grandeur, Puncak Alam, pada 14 September ini.

Berita Harian X