Isnin, 26 Ogos 2019 | 1:00pm
AFIEQ bersama peminat ketika siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Sabtu lalu. Foto Aziah Azmee

Afieq teruja kumpul peminat baharu

ALOR SETAR: Penyanyi, Afieq Shazwan, bersyukur kehadirannya diakui peminat, meskipun dua lagu yang menjadi pertaruhannya iaitu Seandainya dan Darjat tidak terlalu menonjol.

Justeru, apabila namanya dimaklumkan membolosi Top 5, Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Afieq, 22, mengakui tergamam.

“Saya bersyukur, biarpun dua lagu yang dipertaruhkan tidak terlalu memberikan impak, saya masih ada tempat di hati pengundi.

“Saya berterima kasih kepada ahli kelab peminat, Afieq Shazwan Fantastic yang bekerja keras memastikan nama saya menembusi senarai lima popular.

“Terharu kerana ini kali pertama nama saya dicalonkan dalam ABPBH, seterusnya menembusi senarai lima popular. Menang atau kalah, saya serahkan pada rezeki.

“Saya tidak mahu terlalu mengharap, tetapi ahli kelab peminat tetap berusaha dan berjuang untuk memastikan saya memberi saingan,” katanya ketika ditemui pada siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, kelmarin.

Untuk kategori itu, penyanyi yang meraih perhatian menerusi program realiti, Big Stage musim pertama itu bersaing dengan Adam Lee, Iswan Ismail, Atiq Azman dan Ryan Deedat.

Pemilik nama Muhammad Shafieq Shazwan Zamros itu berkata, dia terkejut apabila diserbu peminat ketika mengikuti siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central.

“Sambutan sangat luar biasa, impak yang diperoleh juga cukup ‘gempak’. Sebelum ini, saya pernah mengikuti program jelajah yang dianjurkan stesen radio dan acara lain, tetapi siri jelajah ABPBH 32 agak berbeza.

“Sebelum ini, saya datang bekerja dan menghiburkan peminat, tetapi siri jelajah ABPBH 32 membuatkan saya lebih dekat dengan peminat. Itu yang membuatkan saya rasa begitu dihargai,” katanya.

Afieq berkata, dia juga dapat mengumpul peminat baharu yang menyertai Afieq Shazwan Fantastic ketika mengikuti siri jelajah ABPBH 32.

“Saya bertuah dapat bertemu peminat baharu yang ingin menyertai kelab peminat. Selepas persembahan, saya sempat meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Berita Harian X