Ahad, 18 Ogos 2019 | 8:18pm
DIANA berkongsi keadaan dialaminya ketika berdepan gangguan kebimbangan melampau menerusi Instagram. Foto IG Diana Danielle

Diana Danielle bertarung lawan kebimbangan melampau

KUALA LUMPUR: Pengakuan Datin Diana Danielle, mengenai dirinya yang menderita gangguan kebimbangan melampau dalam rakaman video yang dimuat naik menerusi Instagram, beberapa jam lalu mengejutkan ramai.

Sekian lama memendam rasa, isteri kepada pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil itu terbuka berkongsi mengenai penderitaan yang dialaminya menerusi rakaman berdurasi 2.50 minit.

“Hanya mereka yang pernah mengalami memahami hal ini. Saya tidak peduli bagaimana rambut, wajah dan cara berpakaian saya ketika ini.

“Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, ‘bertenang kerana semua itu tidak benar’. Anda juga tidak tahu mengapa ia terjadi, apakah kerana kita lemah atau mengada-ada?

“Sebenarnya, tidak kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih sekiranya cukup tidur.

“Tetapi, semua yang berlaku ini di luar jangkaan. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan saya penat. Saya tidak menangis, kecuali jika ia terlalu melukakan,” luahnya.

Pelakon filem Hanyut itu berkata, masalah yang dilalui itu membuatkan dia sukar bernafas selama beberapa hari dan ia sangat menakutkan.

“Dada saya begitu sesak kerana cuba bertarung untuk bernafas. Saya tidak pernah terfikir untuk membuat rakaman video saya menangis seperti bayi dan dipertontonkan kepada seluruh dunia.

“Tetapi, itulah realiti. Saya berkongsi kerana tidak adil jika saya terus menyembunyikannya. Saya perlu terbuka dan cuba mencari jalan penyelesaian seperti yang disarankan mereka yang baik hati,” katanya.

Terdahulu, Diana menerusi satu muat naik, semalam berkata, dia berdepan gangguan itu sejak dua minggu lalu.

Ia bermula dengan tanda awal seperti tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan.

“Sangkakan saya mampu bertahan, namun tiga hari lalu, saya mula mengalami tanda asma apabila dada sesak dan sukar bernafas.

“Gangguan kebimbangan melampau sangat menyakitkan, malah memberi kesan terhadap kehidupan harian. Saya mungkin kelihatan ceria, tetapi hari ini saya menangis kerana bernafas tidak puas,” katanya.

27699 dibaca
Berita Harian X