Sabtu, 17 Ogos 2019 | 10:08pm
PENYANYI, Wany Hasrita, bersyukur segala urusan menunaikan haji di Tanah Suci dipermudahkan. - Foto IG Wany Hasrita

Wany menangis dapat pertolongan di Raudhah

KUALA LUMPUR: Bergelar Hajah pada usia muda, penyanyi, Wany Hasrita, sebak berkongsi pengalaman dipertemukan dengan wanita dari England ketika hendak menunaikan solat di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah.

Katanya, wanita baru dikenali itu memberikan kata semangat buatnya dan teman seperjuangan, Amira Othman, sewaktu menjejakkan kaki buat kali pertama ke ruangan dikenali sebagai taman syurga.

“Mungkin bagi orang lain, situasi ini adalah biasa. Namun, pengalaman dilalui ketika kami tiba di Raudhah untuk menunaikan solat di sana memberikan seribu erti buat saya dan Amira. Di situ, kami dipertemukan dengan wanita berasal dari England, yang sudi memberikan tunjuk ajar sepanjang kami beribadat di Masjid Nabawi.

“Wanita terbabit turut menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan kami, seolah-olah dia tahu apa yang sedang kami hadapi. Sedangkan, saya dan Amira tidak bercerita apa-apa kepadanya. Kami sememangnya mengejar waktu kerana tidak bermalam di Madinah, jadi pertolongan itu amat dihargai.

“Selesai solat, kami menawarkan diri untuk membantunya pula. Namun, dia menolak kerana berpendapat kami lebih memerlukannya. Kami meninggalkan Raudhah dengan perasaan sayu sehingga menitiskan air mata,” katanya kepada BH Online saat berkongsi pengalaman ketika berada di Tanah Suci.

Penyanyi Menahan Rindu itu menunaikan haji atas undangan kerajaan Arab Saudi. Dia dan Amira pulang ke tanah air sekitar jam 10.30 malam semalam.

Wany turut meluahkan rasa syukur kerana urusan menunaikan rukun Islam kelima berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah.

Sementara itu, mengulas kejayaan membolosi senarai Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Wany berkata, dicalonkan bersama-sama Aishah, Ara Johari, Stacy dan Siti Nordiana menjadi penghormatan besar buatnya yang masih hijau dalam seni suara.

“Saya dimaklumkan mengenai pencalonan terbabit oleh kelab peminat sebaik sahaja tiba di tanah air, malam tadi.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang mengundi. Nampaknya, rezeki saya untuk sekali lagi dicalonkan dalam kategori sama seperti tahun lalu,” katanya yang enggan menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang trofi kategori berkenaan buat kali kedua, pada 22 September nanti.

5130 dibaca
Berita Harian X