Sabtu, 17 Ogos 2019 | 2:30pm
PELAKON, Datin Fouziah Gous, bersama teman gandingan dalam drama Sara Sajeeda, Alif Muhaimin. - Foto Instagram Fouziah Gous

Fouziah tercabar 'bercinta' dengan lelaki muda

KUALA LUMPUR: Sekian lama tidak membintangi drama rantaian, Datin Fouziah Gous, 36, memilih naskhah memerlukannya memegang watak pensyarah yang jatuh cinta dengan lelaki muda.

Menerusi drama berjudul Sara Sajeeda yang dijangka menemui penonton TV3 sekitar Oktober depan, Fouziah berlakon di sisi Tiz Zaqyah, Arslan Azad Butt dan Alif Muhaimin.

“Selepas lebih tiga tahun tidak aktif di arena lakonan kerana memberikan tumpuan kepada keluarga dan perniagaan, kiranya inilah drama panjang pertama saya jayakan. Sebelum ini, ada juga berlakon, tetapi komitmen saya tidak banyak.

“Dalam Sara Sajeeda, saya memegang watak Nelisa yang bercinta dengan adik teman baiknya sendiri, lakonan Alif. Ia menjadi cabaran sulung dalam melakonkan watak bercinta dengan ‘anak ikan’.

“Biarpun tuntutan watak itu tidak berat, ia tetap sukar bagi saya yang tidak pernah menjayakan cerita sebegitu. Menzahirkan cinta untuk lelaki lebih muda pasti ada cabaran tersendiri,” katanya ketika ditemui pada acara 100 Top Young CEO 2019, di sini.

Ibu kepada Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusof ini berkata, selain dapat melepaskan rindu pada teman gandingan dalam drama itu, termasuk Mas Anizan, dia juga selesa bekerjasama dengan produksi terbabit.

“Produksi ini memberikan kerjasama yang sangat baik kerana saya sendiri mempunyai beberapa komitmen lain. Dalam seminggu, saya mungkin perlu ke lokasi sebanyak tiga atau empat kali. Saya juga masih boleh pulang awal ke rumah. Jadual kerja memang fleksibel,” katanya.


FOUZIAH dan suami ketika menerima anugerah pada acara 100 Top Young CEO 2019, baru-baru ini.

Sementara itu, Fouziah bangga apabila julung kali menerima anugerah dalam bidang perniagaan selepas lebih enam tahun mengusahakan produk sarang burung.

Isteri kepada Datuk Mohd Zhafran Md Yusof ini adalah seorang daripada 20 usahawan dipilih menerima anugerah bagi kategori Wanita Dalam Perniagaan pada acara anjuran Ikon Malaysia itu.

Berita Harian X