Jumaat, 16 Ogos 2019 | 1:00pm
JUHARA bersama Jalil Hamid ketika menjalani rakaman drama radio, baru-baru ini. Foto IG Juhara Ayob

Juhara lerai rindu di pentas teater

KUALA LUMPUR: Kerinduan Juhara Ayob untuk kembali beraksi di gelanggang seni terubat apabila menjayakan persembahan teater, Main Makyung Raja Gondang.

Juhara berkata, kekangan masa membuatkan dia tidak lagi aktif dalam bidang lakonan, terutama apabila terikat dengan tugasan sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak 2007.

“Memang ada yang bertanya ke mana saya lama menghilang, namun tugas sebagai pensyarah membuatkan masa saya terbatas. Penggambaran drama pula selalunya memakan masa yang panjang.

“Tipu kalau saya tidak rindu, jadi bila ada peluang seperti pementasan ini, saya ambil kesempatan itu untuk melunaskan hasrat yang sudah lama terpendam,” katanya.

Juhara berkata, dia tidak keberatan untuk kembali berlakon jika waktu penggambaran bersesuaian dengan jadual hariannya.

“Alhamdulillah, masih ramai yang kenal dan menegur setiap kali bertemu di luar. Saya tidak keberatan untuk kembali berlakon, tetapi mengajar memberi saya kepuasan kerana dapat berkongsi pengalaman dengan pelajar,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Main Makyung Raja Gondang, Juhara yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin menerusi Cinta Si Penggali Kubur berkata, persembahan itu dianjurkan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA).

Ia membabitkan tenaga pengajar, warga kerja, graduan dan pelajar ASWARA sebagai pelakon, penari, pemuzik serta pengurusan produksi.

“Persembahan ini memenuhi aktiviti sempena sambutan ulang tahun ASWARA ke-25. Selain berlakon, saya turut bertindak sebagai penerbit dalam teater yang diarahkan Che Kem ini,” katanya.

Teater yang turut menampilkan Along Ezendy itu bakal dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada 23 dan 24 Ogos ini, jam 8.30 malam, manakala jam 3 petang pada 25 Ogos.

Tiket berharga RM20 bagi dewasa dan RM10 (pelajar) boleh diperoleh di pintu masuk dewan pementasan.

Berita Harian X