Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:12pm
WANY dan Amira menyifatkan kenangan mengerjakan ibadat haji pada usia muda sebagai pengalaman paling berharga dalam hidup. Foto IG Wany Hasrita

Pengalaman terindah dalam hidup Wany, Amira

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wany Hasrita dan Amira Othman, menyifatkan perjalanan menunaikan ibadat haji pada usia muda sebagai pengalaman paling indah dalam hidup mereka.

Wany, 27, dalam perkongsiannya menerusi Instagram, bersyukur urusannya sepanjang mengerjakan Rukun Islam kelima itu dipermudahkan.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, hatinya diselubungi sayu apabila kali pertama menatap Kaabah.

“Hanya Allah yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Sepanjang melakukan tawaf, mata saya tidak berkelip memandang Kaabah. Bagaikan tidak percaya melihat Kaabah tersergam di depan mata.

“Alhamdulillah, selesai sudah semua urusan saya di sini. Pengalaman mengerjakan haji sungguh menakjubkan dan saya berterima kasih atas semua doa. Saya juga mendoakan semua supaya berpeluang ke Tanah Suci Makkah bersama keluarga tersayang,” katanya.

Sementara itu, Amira pula berkata, dia tidak pernah menyangka memperoleh rezeki untuk menunaikan haji pada usia 26 tahun.

“Semua itu sudah Allah susun dan atur, malah banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan mengerjakan haji. Saya sedar apa yang ada di dunia ini seperti pangkat, harta atau nama hanya pinjaman. Kita semua sama di sisi Allah.

“Saya berterima kasih kepada Wany yang menghubungi saya selepas mendapat jemputan ke Tanah Suci. Memang ajaib, tetapi Allah sudah tulis semua ini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sini,” katanya.

Wany dan Amira akan kembali ke tanah air pada Jumaat ini. Pemergian mereka ke sana adalah atas undangan kerajaan Arab Saudi.

4568 dibaca
Berita Harian X