Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:00pm
BIARPUN terpaksa bertatih mencari peluang, Iswan bersyukur bakatnya mula diberi perhatian. Foto IG Iswan Ismail

Iswan sabar menanti peluang serlahkan bakat

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun mencari ruang untuk memahat nama sebagai pelakon, Iswan Ismail bersyukur, laluannya semakin dipermudahkan apabila pelbagai tawaran mula mendekati.

Meskipun hanya memegang watak pembantu, jejaka kelahiran Singapura berusia 31 tahun itu tidak kisah bertapak dari bawah untuk memperkenalkan bakatnya.

“Saya tidak mahu terburu-buru mengatur langkah. Biarlah saya bermula dari bawah dan mempelajari selok-belok dunia lakonan sebelum diberi kepercayaan membawa watak utama.

“Perjalanan itu secara tidak langsung mengingatkan saya, tiada yang datang bergolek dalam hidup ini. Saya tidak kisah mengenal erti susah untuk menggapai cita-cita,” katanya.

Iswan sebelum ini dikenali menerusi watak Luke, pembantu kepada Tengku Ian, lakonan Fattah Amin dalam drama Hero Seorang Cinderella.

Dia juga pernah membintangi drama seperti Lara Cinta Ameena, Ops Cinta Din Sardin, Shh...I Love You dan Sayang Papa Saya Tak?.

Bakat yang dicungkil menerusi pertandingan Dewi Sofiea Supermodel Search 2015 itu berkata, melihat teman senegara seperti Datuk Aaron Aziz, Shah Iskandar dan Atikah Suhaime berjaya mencipta nama di sini, membuatkan dia turut menyimpan impian sama.

“Saya tahu tidak mudah, tambahan pula negara ini tidak pernah ketandusan bakat baharu yang ingin mencuba nasib. Saya tidak takut bersaing kerana ia menjadi ruang pembelajaran terbaik untuk terus berusaha memperbaiki diri.

“Saya serius mahu membina nama di sini, malah pernah berguru dengan pelakon hebat seperti Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud untuk menggilap kemampuan yang ada,” katanya.

Tidak jemu menghadiri sesi uji bakat untuk mencari peluang, Iswan berkata, dia sudah lima tahun menetap di negara ini selepas melanjutkan pelajaran dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di sebuah kolej swasta di Subang Jaya, Selangor.

“Saya sudah terbiasa dengan suasana di sini hingga bertekad untuk terus mencari rezeki di negara ini,” katanya.

Iswan bersyukur, biarpun belum terlalu menyerlah, bakatnya mula meraih perhatian peminat apabila tersenarai dalam barisan calon awal Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

“Saingan untuk kategori itu agak sengit, tambahan pula saya berdepan cabaran daripada nama lebih popular. Untuk berada dalam senarai Top 5, saya serahkan kepada peminat.

“Saya bertuah mendapat sokongan kelab peminat, IswanForce Family yang berusaha keras memastikan nama saya tidak tercicir dalam senarai Top 5. Saya tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi, tetapi jika berjaya, sudah tentu saya sangat bersyukur,” katanya.

Berita Harian X