Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:00am
PELAKON, Erwin Dawson, berkata dia masih berkawan baik dengan Julia Farhana Marin. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Label 'girlfriend', 'boyfriend' macam tak berkat - Erwin Dawson

KUALA LUMPUR: Pelakon, Erwin Dawson, 30, lebih selesa menggunakan ungkapan teman rapat bagi menjelaskan hubungannya dengan bintang Langsuir, Julia Farhana Marin.

Katanya, andai ada jodoh antara mereka pula, dia memilih untuk terus sahaja berkahwin.

“Kami memang berkawan rapat, tetapi buat waktu ini, rasanya lebih elok jika tidak diletakkan sebarang status terhadap perhubungan ini.

“Cukuplah masa yang menjadi saksi dan penentu kepada hubungan ini. Jika jodoh kami panjang, kami akan terus bernikah. Jika sebaliknya pula berlaku, kami akan terus memberikan sokongan antara satu sama lain.

“Bagi saya, menggunakan label atau ungkapan seperti ‘girlfriend’ dan ‘boyfriend’ dalam perhubungan seperti tidak berkat,” kata calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 berasal dari Singapura ini.

PELAKON, Julia Farhana Marin, akan terus memberikan sokongan kepada Erwin - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kisah cinta pasangan selebriti ini sememangnya ada pasang surut. Mereka pernah memilih untuk membawa haluan masing-masing, sekitar penghujung tahun lalu, namun tidak lama kemudian ia dikatakan bertaut semula.

Pada malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Putrajaya, April lalu, kedua-duanya dilihat hadir dengan pakaian sedondon. Terbaru, mereka dikatakan tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Mengenai perkembangan seni, Erwin berkata, ketika ini dua drama lakonannya, Mimpi Sabrina dan Ajari Playboy Itu, sedang ditayangkan di kaca TV.

“Saya juga kini berada di Singapura kerana terbabit dengan penggambaran sebuah drama. Setiap bulan, saya memang akan turun ke Kota Singa bagi melawat ibu,” katanya.

Menyentuh pencalonannya dalam ABPBH 32, pelakon filem, Bisik Pada Langit dan Pulang, itu tidak mahu meletakkan harapan menggunung.

“Saya bersyukur andai nama melekat dalam senarai Top 5. Jika sebaliknya pula, saya tetap memberikan sokongan kerana mereka yang menang juga terdiri daripada teman seperjuangan,” katanya.

Sementara itu, Julia yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama, Puteri Yang Ditukar, dan filem, Coast Guard, juga enggan terlalu larut dalam kisah peribadi.

“Kami masih berkawan. Malah, saya tiada masalah untuk bekerjasama dengannya dalam mana-mana projek lakonan. Jika dia menghubungi saya bagi mendapatkan nasihat pula, saya akan terus membantu.

“Sebaik-baiknya, biarlah kami berkawan sahaja buat waktu ini. Masing-masing mahu fokus pada kerjaya seni dan cuba mengelak daripada hal sebegini mengganggu,” kata Julia.

Berita Harian X