Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:00am
NIENA pendam hasrat untuk kembali aktif kerana mahu terlebih dahulu memberi tumpuan pada keluarga. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Niena Baharun tak gusar hilang populariti

KUALA LUMPUR: Pelakon yang dikenali menerusi watak Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku, Datin Niena Baharun, tidak gusar jika popularitinya merudum gara-gara berehat terlalu lama selepas melahirkan anak sulung, Adiel Mikail.

Niena, 26, akur tanggungjawab sebagai ibu menuntut pengorbanan yang cukup besar, namun dia tidak ralat melakukannya demi anak yang masih memerlukan perhatian rapi.

“Saya masih lagi bercuti selepas kali terakhir beraksi dalam Jangan Benci Cintaku, tahun lalu. Ketika penggambaran, saya sedang hamil empat bulan.

“Perasaan rindu mahu berlakon sukar digambarkan. Setiap kali melihat laman sosial rakan seperjuangan yang sibuk di lokasi penggambaran, hati saya meronta-ronta.

“Namun, inilah pengorbanan terbesar saya kerana tanggungjawab sebagai ibu tidak mampu diketepikan. Apatah lagi, Adiel yang baru berusia 10 bulan masih menyusu badan.

“Berjauhan sedikit dia sudah menangis, bagaimana jika terpaksa berpisah lama kerana kerja penggambaran?,” katanya.

Niena berkata, suaminya, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadim, tidak pernah menghalangnya untuk kembali berlakon, namun hatinya masih ragu-ragu meninggalkan anaknya bersama pembantu rumah.

“Saya cepat susah hati memikirkan anak di rumah. Jadi, ada baiknya saya tolak dahulu tawaran yang datang. Jika ditakdirkan populariti saya merudum selepas lama berehat, saya reda.

“Saya tahu, agak sukar untuk bangkit semula apabila nama sudah tenggelam. Namun, saya percaya pada rezeki. Populariti itu rezeki dan dapat watak hebat pula saya anggap sebagai bonus.

“Saya tidak terkilan kerana sejak mula berlakon, saya pegang prinsip untuk tidak terlalu mengejar populariti. Saya yakin populariti akan datang jika kita berjaya membuktikan kehebatan di depan kamera.

“Saya juga sentiasa mengingatkan diri, hidup tidak sentiasa di atas. Jadi, tiada apa yang perlu digusarkan jika harus bangkit berjuang semula. Rezeki seseorang sudah ditetapkan,” katanya.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Demi Dia pada 2013 itu mengakui, impak watak Husna pernah membuatnya dibenci ramai.

Namun, seiring perjalanan masa, dia kini kini tidak lagi dikecam dan disumpah seranah seperti ketika Jangan Benci Cintaku disiarkan, tahun lalu.

“Watak Husna memberi impak cukup besar dalam kerjaya lakonan saya. Hingga ini, peminat masih memanggil saya Husna, malah nama asal saya seperti sudah terpadam.

“Suami saya turut menjadi mangsa usikan kawan-kawan apabila beristerikan ‘Husna’. Dia hanya ketawa setiap kali diusik,” katanya.

Impak drama itu juga menyaksikan Niena dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 untuk dua kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Watak Antagonis Popular.

Berita Harian X