Ahad, 11 Ogos 2019 | 9:00am
PELAWAK, Johan dan Isteri, Ozlynn Waty, antara pelakon yang bakal menjayakan teater Pawana Isabella di Istana Budaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Pengikut kami sedih ibu bapa tak ajar mengaji'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ozlynn Waty, mendedahkan kebanyakan pengikut akaun Instagram miliknya dan suami, Johan, adalah golongan remaja sekolah.

Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 39, berkata perkara itu mula disedari apabila masing-masing menerima banyak mesej berbentuk keluhan masalah keluarga, selain teringin memiliki ibu dan bapa seperti mereka.

"Kami menerima pelbagai luahan menerusi komen dan mesej peribadi. Kata mereka, seronok jika dapat ibu dan bapa seperti kami. Ada juga yang sedih apabila tidak pernah diajar mengaji.

"Apabila membuat luahan sebegitu, menjadi tanggungjawab saya untuk menasihati mereka. Setiap ibu dan bapa ada cara didikan tersendiri. Jadi, usah dibanding-bandingkan kerana manusia diberi sifat dan sikap berbeza.

"Saya meminta mereka hanya mengikut teladan baik ditunjukkan ibu bapa masing-masing, bukan sesuatu yang tidak elok,” katanya kepada BH Online.

Katanya lagi, dia turut menasihati remaja berkenaan mengubah diri sendiri jika berasakan perlu ‘berhijrah’ ke arah lebih baik.

“Belajarlah mengaji daripada sesiapa. Saya amat berharap, sekurang-kurangnya nasihat saya diambil bagi menguatkan diri masing-masing kerana ujian Tuhan tidak sama," katanya ketika ditemui pada sidang media teater bangsawan Pawana Isabella, di sini.

Selain dirinya dan suami, teater arahan Erma Fatima bersama Naque Ariffin itu turut dilakonkan oleh Syafiq Kyle, Datuk Afdlin Shauki dan Azar Azmi. Ia bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Menurut Ozlynn, dia bersyukur masih dihulurkan tawaran berlakon meskipun kerap kali berehat daripada bidang seni.

"Sejak habis pantang hinggalah sekarang, ada sahaja tawaran yang datang. Selagi boleh, saya akan menerimanya. Apatah lagi sekarang kita perlu bersaing dengan ramai artis, terutama bakat baharu.

"Alhamdulillah, setiap kali kembali aktif, ada sahaja peluang dihulurkan. Menerusi teater ini, umpamanya, Erma memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas watak Inang Merong.

"Walaupun babak saya dalam teater ini tidak banyak, ia bukan tugas mudah kerana dialognya begitu puitis," katanya.

Berita Harian X