Jumaat, 9 Ogos 2019 | 4:00pm
JANNA akur kesilapannya dan memohon maaf kerana berpakaian tidak sesuai ketika menyertai program motivasi, baru-baru ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Silap saya sebab tak peka pilih pakaian'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Janna Nick tidak menyalahkan warganet yang mengecam caranya berpakaian ketika menyertai program motivasi, baru-baru ini.

Akur kesilapannya, Janna, 24, dengan merendah diri memohon maaf kerana tidak peka dengan situasi dan berjanji tidak lagi mengulangi kesilapan.

“Itu memang salah sendiri dan saya minta maaf. Saya tidak salahkan warganet apabila mereka mengecam. Jika mereka tidak tegur, saya tidak akan sedar kesilapan saya.

“Kadang-kadang, kita tidak perasan pakaian yang digayakan itu kurang sesuai, apatah lagi ketika menghadiri majlis ilmu. Saya perlu berpakaian lebih sopan.

“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dengan pemilihan persalinan ke sesuatu acara,” ulas Janna mengenai isu dia berpakaian ketat ketika diundang menyampaikan ceramah motivasi, sekali gus mencetuskan pertikaian warganet, baru-baru ini.

Pelakon drama rantaian Cari Aku Di Syurga dan Bukan Cinta Aku itu berkata, kritikan itu tidak sesekali membuatnya serik untuk terus berkongsi ilmu, malah bersedia menabur bakti selagi diperlukan.

“Saya tidak berputus asa hanya kerana insiden itu. Saya lakukan semua itu dengan ikhlas dan akan terus berkongsi ilmu dengan mereka yang memerlukan,” kata Janna ketika ditemui pada sidang media teater bangsawan, Pawana Isabella di Istana Budaya, semalam.

Menerusi teater arahan Erma Fatima yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 21 hingga 31 Ogos ini, Janna memegang watak sebagai Permaisuri Isabella, bergandingan dengan Syafiq Kyle.

Mengulas pencalonannya dalam empat kategori Anugerah Bintang popular BH (ABPBH) Ke-32, Janna mengakui, teruja kerana namanya turut tersenarai dalam kategori Pengacara TV Popular.

“Secara jujur, saya agak takut apabila dicalonkan dalam pelbagai kategori, pada masa sama teruja kerana nama turut tersenarai dalam kategori Pengacara TV Popular.

“Saya tidak kisah soal kalah atau menang kerana berada dalam kategori itu membuktikan percubaan saya dalam bidang pengacaraan diterima ramai,” katanya.

Edisi ABPBH 32 menyaksikan Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner turut dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa serta dua kategori online iaitu Artis Versatil Popular dan Gandingan Serasi Drama.

Berita Harian X