Jumaat, 9 Ogos 2019 | 2:33pm
ADIRA bersalin anak ketiga seminggu awal menerusi pembedahan, tengah hari semalam. Foto NSTP

Adira selamat timang anak ketiga

KUALA LUMPUR: Bersalin seminggu awal berbanding tarikh jangkaan, penyanyi Adira Suhaimi bersyukur, urusan melahirkan anak ketiganya berjalan lancar.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 28, berkata bayi perempuan seberat 3.4 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan, jam 1.20 tengah hari, semalam.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat dan bayi juga sihat. Cuma, saya masih lemah, mungkin kesan ubat selepas pembedahan.

“Mengikut perkiraan awal, saya dijadualkan bersalin pada 16 Ogos ini, namun dimasukkan ke hospital, malam kelmarin selepas menunjukkan tanda mahu bersalin.

“Mengenai nama, saya memilih pangkal huruf A, sama seperti kakak dan abangnya, cuma masih belum ditentukan. Ada ketika, nama anak itu datang secara spontan,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Hati itu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Terdahulu, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Anggrek yang dilahirkan pada 10 Mac 2017, manakala Asan pada 9 September 2018.

Berita gembira itu turut dikongsi suami Adira menerusi Instagram yang menyifatkan, kehadiran bayi itu sebagai rezeki tidak ternilai dalam rumah tangga mereka.

1795 dibaca
Berita Harian X